fbpx

Mahkamah: Ahmad Zahid mohon pertimbang pasport kekal dikembalikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, memohon Mahkamah Rayuan menyemak dan menimbangkan permohonannya supaya pasport antarabangsa dikembalikan secara kekal bagi menjalankan tugas rasmi dengan lancar.

Menurut Ahmad Zahid, 70, keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen perjalanan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

Melalui notis usul yang difailkan pada 13 Februari lalu di Mahkamah Rayuan, Ahmad Zahid memohon permohonan pelepasan pasportnya secara penuh dan kekal dipertimbangkan kembali dan diputuskan Mahkamah Rayuan dengan ap-apa syarat sewajarnya dikenakan mahkamah terbabit.

Sementara itu menerusi afidavit sokongannya, Ahmad Zahid berkata,
Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah telah terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

“Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

“Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan bahawa kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara yang menjadi tanggungjawab setiap individu,” katanya.

Dalam prosiding pengurusan kes hari ini, Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd. Khairi Haron menetapkan 27 Mac ini bagi pendengaran notis usul itu.

Prosiding turut dihadiri peguam Aiman Abdul Rahman manakala Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob bertindak bagi pihak pendakwaan.

Pada 3 Februari lalu, Hakim Collin Lawrence menolak permohonan Ahmad Zahid, tetapi
membenarkan pasport itu diserahkan sementara bagi membolehkan Presiden UMNO itu membuat pasport diplomatik untuk urusan rasmi.

Pasport Ahmad Zahid sebelum ini diserahkan dan berada dalam simpanan mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan, selepas beliau didakwa dengan 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang kini dalam peringkat bela diri. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI