GLASGOW – Seorang lelaki mendakwa bahawa dia tidak menyukai wanita tidak cantik dan sanggup membujang bertahun-tahun kerana mahu beristerikan wanita jelita, lapor portal berita MailOnline semalam.
Lelaki Scotland dikenali sebagai Kevin, 42, itu menganggap ramai lagi lelaki yang mempunyai pendirian sepertinya.
Dia yang mengimpikan wanita berambut panjang dan mempunyai payudara besar berkata kepada portal berita The Sun: “Saya tidak menyatakan bahawa saya Brad Pitt (kacak) tetapi saya tahu saya boleh menarik wanita yang munasabah.”
Pitt ialah pelakon lelaki yang membintangi banyak filem popular Hollywood dan memiliki wajah yang tampan.
Kevin berkata, dia membujang sejak tiga tahun lalu tetapi pernah menjalin hubungan jangka panjang sebelum ini.
Pesohor media sosial itu menjelaskan bahawa dia enggan mencari teman wanita melalui cara biasa seperti mengambil minuman keras di pub atau bar kerana dia tidak minum alkohol sejak sekian lama. – Agensi