fbpx

LBS bentang 4 saranan buat kerajaan bantu rakyat miliki rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara projek yang dibangunkan LBS.

PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) menyenaraikan empat saranan buat kerajaan bagi dibentangkan dalam Belanjawan 2023 khususnya membantu rakyat memiliki rumah sendiri selain memulihkan semula sektor hartanah di negara ini.

Pengerusi Eksekutif LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan pengenalan semula Kempen Pemilikan Rumah (HOC) serta beberapa langkah tambahan kepada bakal pemilik rumah, khususnya pembeli rumah kali pertama.

“Keberkesanan HOC ini terbukti semasa pelaksanaannya pada tahun 2019 hingga 2021. Oleh itu, pengenalan semula HOC dijangka mendorong lebih banyak permintaan daripada bakal pembeli dan seterusnya menggalakkan pemilikan rumah dengan pilihan dan harga yang berpatutan.

“Selain itu, LBS mencadangkan pengenalan kos pembiayaan gadai janji yang lebih rendah atau menawarkan rebat sehingga 10 peratus kepada pembeli kali pertama untuk memastikan sentimen pembelian terus kekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara cadangan lain, Hock San berharap kerajaan kali ini dapat melaksanakan pelan terbaharu untuk membenarkan kemasukan 500,000 orang pekerja asing dari 15 buah negara bagi mengatasi masalah kekurangan buruh dalam pelbagai sektor, khususnya pembinaan.

“Dianggarkan 700,000 pekerja asing telah meninggalkan Malaysia akibat daripada Covid-19 dan kami percaya bilangan pekerja asing yang diperlukan adalah tinggi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi  berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Pada masa sama, Hock San turut mengulas mengenai harga bahan mentah yang masih belum stabil sehingga menyukarkan pihak pemaju untuk menyiapkan unit rumah mengikut jadual ditetapkan.

Oleh itu, Hock San menyeru agar kerajaan memperkenalkan subsidi untuk kos bahan mentah dengan meletakkan had harga tertentu.

“Menerusi usaha ini, para pemaju hartanah dapat menguruskan kos-kos bahan mentah dengan lebih cekap.

“LBS berharap Belanjawan 2023 akan memberikan suatu anjakan paradigma baharu di samping melihat peningkatan dalam sentimen hartanah menerusi pakej rangsangan yang tepat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI