TUMPAT – Penduduk di Kampung Paloh, Palekbang di sini hari ini terpaksa menggunakan air daripada sebuah jentera bomba untuk urusan memandikan jenazah seorang warga emas berikutan gangguan bekalan air sejak semalam.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Wakaf Bharu, Mohd. Azwan Arif Ab Majid berkata, sebuah jentera bergegas ke rumah tersebut selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.03 pagi tadi.
Menurutnya, pemanggil di talian memaklumkan bahawa neneknya, Limah Yamat, 80, meninggal dunia kira-kira pukul 6.45 petang semalam kerana sakit tua, namun mereka tidak dapat menyempurnakan urusan mandi jenazah pagi tadi.
“Saya dan empat anggota bomba balai Wakaf Bharu bergegas ke rumah terbabit dengan sebuah jentera untuk menyalurkan bekalan air. Sebanyak 1,500 gelen air diisi ke dalam tangki rumah itu untuk urusan memandikan jenazah,” katanya ketika dihubungi pemberita sebentar tadi.
Sementara itu, cucu kepada Limah, Mohd. Zikri Azemi, 30-an berkata, penduduk kampung itu menerima notis gangguan bekalan air semalam dan ia sepatutnya pulih kira-kira pukul 6 pagi tadi.
Menurutnya, bagaimanapun, bekalan air masih terputus sehingga pukul 8 pagi sebelum dia menghubungi talian kecemasan untuk bantuan air bagi memudahkan urusan memandikan jenazah neneknya.
“Alhamdulillah, segala urusan berjalan lancar selepas bomba menyalurkan bekalan air di rumah kami pagi tadi,” katanya.
Difahamkan, gangguan bekalan air di Kampung Paloh berlaku ekoran kerja-kerja penyelenggaraan panel elektrik di Loji Rawatan Air Wakaf Bharu bermula malam tadi sekali gus menjejaskan sebanyak 13,747 akaun di kawasan tersebut.
Setakat pukul 4 petang tadi, bekalan air di kawasan itu masih terputus. – KOSMO! ONLINE