fbpx

Ibu tunggal besarkan lapan anak dengan ‘poket kosong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mazara bersama sebahagian anaknya ketika ditemui di Apartment Taman Desa Ria, Shah Alam baru-baru ini.

SHAH ALAM – Kesempitan hidup tidak membataskan kasih sayang seorang wanita yang cekal membesarkan lapan anaknya dengan sumber kewangan terhad sejak tiga tahun lalu selepas kematian suaminya.

Mazara Mat Zain, 48, berkata, pendapatan bulanannya seba­nyak RM1,500 habis digunakan untuk keperluan harian bersama anak-anaknya yang berusia antara 6 hingga 20 tahun.

Kata pekerja syarikat logistik itu, lima anaknya masih bersekolah dengan seorang daripada­nya sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Suami, Allahyarham Zamri Mohamed, 46, meninggal dunia pada 2019 akibat kanser paru-paru. Sejak itu, hidup kami sekeluarga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

“Pendapatan yang saya terima memang cukup-cukup setiap bulan selain dibantu pusat kebajikan yang sering memberikan makanan setiap minggu,” kata­nya di rumahnya di Apartment Taman Desa Ria di sini baru-baru ini.

Ibu tunggal itu berkata, anak sulungnya berusia 20 tahun yang masih tidak mempunyai pekerjaan telah membantunya menjaga adik-beradiknya ketika dia keluar bekerja.

“Tipu kalau saya cakap tidak terbeban memandangkan saya membesarkan anak-anak seorang diri, namun saya perlu kuat demi anak-anak. Hendak me­minta-minta segan, sebab kudrat pun masih ada.

“Namun, saya bersyukur apabila terdapat individu tertentu yang secara sukarela dan sudi membelikan kelengkapan persekolahan beg dan peralatan tulis untuk anak-anak,” ujarnya.

Menurutnya, dia pernah memohon bantuan Lembaga Zakat Selangor sebelum ini, namun setakat ini belum diketahui status permohonannya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun CIMB bernombor 7008317781 atau menghubungi Mazara di talian 011-2316 0075.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI