KEMAMAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan kos bahan mentah kini melonjak bakal kembali stabil menjelang hujung bulan depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh berkata, pada masa ini inflasi makanan domestik berada pada kadar 6.8 peratus.
Beliau berkata, berdasarkan ramalan penganalisis ekonomi, kadar inflasi makanan itu akan menurun kepada lima peratus pada akhir bulan Mac nanti.
“Kita akui inflasi makanan agak tinggi pada masa ini dengan paras paling tinggi iaitu tujuh peratus pada bulan November lalu.
“Begitupun ia kini semakin menurun dan dijangka mencapai lima peratus pada hujung bulan Mac,” katanya selepas menghadiri Jelajah Menu Rahmah peringkat Terengganu di Restoran Cahaya Mesra Seafood, Kijal di sini hari ini.
Fuziah berkata, penurunan inflasi makanan itu bakal menstabilkan semula harga bahan mentah seperti sayur-sayuran, ayam dan daging.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu berdasarkan maklum balas pekebun Cameron Highlands, harga sayur-sayuran juga semakin menunjukkan trend penurunan.
“Mereka memberitahu tidak semua sayur mahal, ada juga yang turun (harga) seperti pak choy.
“Sehubungan itu, saya mencadangkan pengguna khususnya suri rumah memanfaatkan aplikasi PriceCatcher bagi membandingkan harga,” katanya. – KOSMO! ONLINE.