BAYI dan kanak-kanak kebiasaannya akan tidur dan minum dengan banyak. Namun, sekiranya anak anda tiba-tiba lebih mengantuk atau dahaga daripada biasa, ini boleh menjadi simptom diabetes mellitus jenis 1.
Diabetes jenis 1 disebut sebagai diabetes juvana kerana kebanyakan yang mendapatnya adalah kanak-kanak kecil.
Seorang kanak-kanak boleh mendapat diabetes jenis 1 semasa bayi atau apabila semakin membesar sehingga peringkat remaja.
Biasanya ia terjadi selepas mereka berumur lima tahun, namun terdapat juga individu yang mendapatnya selepas mencapai usia lewat 30-an.
Menurut Pangkalan Data Kebangsaan Kanak-kanak dan Remaja dengan Diabetes, diabetes jenis 1 adalah suatu keadaan diabetes kanak-kanak yang paling lazim di Malaysia merangkumi sehingga 73 hingga 77 peratus daripada semua kes diabetes kanak-kanak.
Pakar Pediatrik dan Pediatrik Endokrinologi di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ch’ng Tong Wooi berkata, tanggapan umum bahawa diabetes jenis 1 berpunca daripada makan gula berlebihan adalah tidak benar.
Menurutnya, bagi kebanyakan penghidapnya, diabetes jenis 1 adalah disebabkan penyakit autoimun di mana pankreas berhenti menghasilkan insulin sama ada secara sebahagian atau keseluruhannya.
“Sementara itu, diabetes jenis 2 sering dikaitkan dengan obesiti dan banyak berlaku terhadap golongan dewasa.
“Walaupun berbeza, perlu diingatkan bahawa kedua-duanya adalah serius kerana setiap satunya boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang lebih serius seperti penyakit kardiovaskular, kegagalan buah pinggang, kehilangan penglihatan dan masalah luka lambat sembuh,” katanya.
Simptom awal diabetes jenis 1 adakalanya tidak begitu ketara dan sukar dikesan kerana kanak-kanak kecil tidak dapat mengetahui sama ada mereka mempunyai kadar gula dalam darah yang rendah atau tinggi, tidak seperti orang dewasa.
Tanda-tanda awal bagi diabetes ini adalah kanak-kanak kerap buang air kecil atau terkencing semasa tidur dengan kerap.
Selain itu, mereka juga akan merasa dahaga melampau yang berterusan dan mengalami kepenatan yang melampau serta turun berat badan dengan mendadak atau kelihatan lebih kurus daripada biasa.
Tanda amaran lain termasuklah nafas berbau buah iaitu buah yang manis, masalah pernafasan dan perubahan penglihatan secara tiba-tiba, yang boleh menjadi petanda lewat kadar gula yang tinggi dalam darah.
Gejala-gejala ini cenderung muncul dengan cepat dalam tempoh beberapa hari atau minggu sahaja, terutamanya bagi kanak-kanak. Oleh itu, Tong Wooi sentiasa mengesyorkan ibu bapa agar segera berjumpa dengan doktor sekiranya mendapati ada mana-mana gejala ini pada anak mereka.
“Jika anda dapati sebarang gejala ini pada anak anda, jangan berlengah untuk membawanya berjumpa doktor.
“Diagnosis diabetes jenis 1 hanya memerlukan pemeriksaan glukosa darah yang ringkas dan cepat,” katanya.
Tambahnya, melakukan pengesanan awal boleh mengurangkan risiko ketoasidosis diabetik (DKA) secara mendadak, sekali gus mengelakkan komplikasi diabetes yang serius yang boleh mengancam nyawa.
Dalam pada itu, menguruskan kanak-kanak yang menghidap diabetes jenis 1 merupakan cabaran kepada ibu bapa.
Selain membesarkan anak-anak, ibu bapa juga perlu membantu mereka mengharungi kehidupan dengan penyakit kronik.
Adakalanya mereka perlu berjaga malam untuk memeriksa paras gula dalam darah anak mereka dan pada siangnya pula risau memikirkan makanan ringan yang anak mereka makan di sekolah.
Walaupun kini masih tiada cara untuk mencegah diabetes jenis 1, namun terdapat pelbagai kaedah untuk membantu menguruskan gejalanya.
Tong Wooi menjelaskan, pelan penjagaan diabetes kanak-kanak biasanya mempunyai empat bahagian asas.
“Pertama, mengambil insulin. Kedua, makan makanan yang sihat dan seimbang. Ketiga, periksa paras gula dalam darah sekurang-kurangnya empat kali sehari. Akhir sekali, lakukan aktiviti fizikal dengan kerap.
“Ibu bapa bukan saja bertanggungjawab memastikan anak anda selamat dengan membina rutin baharu yang praktikal, tetapi mereka juga perlu menjadi sistem sokongan yang penting kepada anak,” ulasnya.
Kanak-kanak dengan diabetes jenis 1 mengharapkan sokongan ibu bapa secara fizikal, misalnya membantu mereka memberi suntikan insulin, serta dari segi emosi, seperti bercakap tentang perasaan mereka mengenai penyakit yang baru dialami dan akan berkekalan itu.
Bagi menunjukkan sokongan, ibu bapa perlu menjadi lebih prihatin dengan melibatkan diri secara aktif dalam penjagaan harian anak mereka dan memulakan perbualan terbuka sejurus selepas didiagnosis.
Sikap berlapang dada seperti ini mampu menyiapkan diri mereka untuk berkomunikasi tentang sebarang cabaran yang mungkin berlaku pada masa hadapan.
Biar apapun tahap diagnosis diabetes anak anda, perlu diingatkan bahawa mereka masih mempunyai pilihan dalam hidup dan tidak seharusnya disekat.
Anak anda masih boleh menjalani hidup dengan sempurna dan mencapai segala yang diinginkan.
Apa yang perlu mereka lakukan ialah mengambil tindakan dan konsisten dengannya.