fbpx

Arieni Adriena kongsi cara bisnes bertahan sewaktu pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ARIENI ADRIENA

MEMBESAR dengan nenek ketika kecil telah mendorong Arieni Adriena Mohd. Ritzal sama-sama masuk ke dapur untuk memasak.

Bermula dari situ, minatnya dalam dunia masakan timbul.

“Ketika berumur lima tahun, saya telah belajar membuat roti jala dengan nenek.

“Dari kecil, saya banyak menghabiskan masa di dapur bersama nenek,” kata wanita yang kini berusia 32 tahun itu.

Setelah meningkat dewasa, Arieni Adriena tidak menyangka minat memasak sejak kecil itu telah mendorongnya terlibat dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Walaupun tidak memiliki pendidikan formal dalam industri tersebut, namun dia memberanikan diri untuk membuka restoran yang dinamakan sebagai Gula Cakery.

Cawangan pertama kedainya itu dibuka di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 2015.

Kini, dia telah memiliki tujuh cawangan Gula Cakery di seluruh negara.

Selain itu, Arieni Adriena memiliki empat kedai aiskrim, sebuah kedai menjual roti jala dan sebuah premis menawarkan makanan Mexico.

Dalam pada itu, dia menjelaskan, menguruskan kedai-kedai tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

ARIENI ADRIENA memiliki tujuh cawangan kedai Gula Cakery di seluruh negara.

Katanya, dia sendiri berhadapan dengan cabaran terutama ketika pandemik Covid-19 melanda negara.

“Pada ketika itu, saya memiliki lebih 120 pekerja. Paling merisaukan adalah tentang gaji mereka.

“Alhamdulillah, sepanjang Covid-19 saya masih mampu bertahan dan tidak ada pekerja yang diberhentikan,” jelasnya yang mempunyai latar belakang pengajian dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Tambahnya, salah satu usaha yang dilakukannya ketika itu adalah dengan menjual roti jala bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

Ujarnya, wang simpanan daripada hasil jualan di Gula Cakery digunakan untuk memastikan perniagaan terus bertahan sepanjang tempoh pandemik.

Arieni Adriena menegaskan bahawa pengurusan kewangan amat penting dalam memastikan perniagaannya terus bertahan ketika pandemik.

Malah, setelah Covid-19 mula reda, Arieni Adriena mendapat idea untuk membuka kedai roti jala dan aiskrim bagi memperluaskan lagi perniagaan.

Baginya, Covid-19 juga meninggalkan hikmah yang tersendiri buat perniagaannya.

“Selepas pandemik, jumlah pelanggan kami semakin bertambah dan jualan melonjak hingga tiga kali ganda. Pekerja kami sampai tidak menang tangan.

“Keuntungan yang diperoleh membolehkan saya berkongsi rezeki bersama pekerja dengan membawa mereka bercuti serta memberi bonus,” katanya.

Dalam pada itu, antara cabaran lain yang dihadapinya apabila menceburkan diri dalam bidang perniagaan adalah untuk kekal konsisten terutamanya dari segi rasa makanan.

Untuk terus bertahan, Arieni Adriena mengakui, dia perlu sentiasa mengikuti trend makanan yang diinginkan oleh orang ramai.

“Saya cuba untuk mengikuti apa yang pelanggan mahukan serta menyediakan resipi yang kena dengan cita rasa masyarakat kita.

“Kebanyakan makanan yang dihasilkan ini adalah olahan saya sendiri.

“Jadi, saya perlu pastikan rasa makanan di setiap cawangan sentiasa konsisten,” terangnya.

Sementara itu, Arieni Adriena menjelaskan, dia sangat gembira apabila berjaya melebarkan cawangan sehingga ke Melaka.

Dia juga mempunyai rancangan memperluaskan lagi cawangan kedainya di Semenanjung pada masa depan bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati hidangan ditawarkan.

Sebelum menutup bicara, dia menitipkan pesan kepada mereka di luar sana yang ingin terlibat dalam dunia F&B supaya sentiasa percaya diri.

“Setiap daripada kita mempunyai impian. Apa yang penting, kita percaya kepada diri sendiri dan cuba merealisasikannya dengan tindakan.

“Pada masa sama, kita perlu kuatkan mental dan fizikal.

“Kita juga perlu menyediakan beberapa rancangan supaya tahu hala tuju jika sesuatu yang dirancang tidak menjadi,” katanya.

Tambahnya, mereka juga perlu bergaul dengan usahawan lain yang mempunyai mentaliti sama serta bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI