fbpx

Air pasang besar, ombak ‘telan’ pantai Terengganu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MOHD. AZLI ADLAN,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP kali monsun Timur Laut menjelma dari Oktober hingga Mac saban tahun, Terengganu pasti dibelenggu dengan ancaman bukan sahaja banjir, malah hakisan pantai.

Berdasarkan laporan hakisan pantai negara (NCES), 48 lokasi pesisir pantai di Terengganu be­risiko menghadapi hakisan.

Sepanjang musim tengkujuh, kawasan pesisir pantai seperti Pantai Penarik dan Bari Kecil, Setiu; Pantai Kampung Tanjung dan Seberang Takir, Kuala Nerus dan Pantai Geliga, Kemaman menga­lami hakisan teruk.

Hakisan pantai disebabkan fenomena air pasang besar dan ombak tinggi telah memusnahkan banyak harta benda rakyat.

Benar kerajaan tidak berdiam diri, namun inisiatif pembinaan benteng penahan dan pemecah ombak yang dibina melibatkan kos beratus juta ringgit selama ini nampak bukanlah penyelesaian jitu.

Infrastruktur itu seakan tidak mampu menyelesaikan isu hakisan pantai yang terus membadai penempatan mereka saban tahun.

Mengulas isu itu, Timbalan Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Effi Helmy Ariffin berkata, sudah tiba masanya agensi kerajaan mengubah pendekatan dalam menangani masalah ha­kisan pantai di negeri ini.

Pakar Oseanografi itu berkata, pesisir pantai di Terengganu yang terjejas teruk dengan hakisan terbahagi kepada dua kawasan utama iaitu utara melibatkan daerah Kuala Nerus, Setiu dan Besut serta selatan (Dungun dan Kemaman).

“Kajian mendapati, kedua-dua kawasan ini memerlukan ‘rawatan’ yang berbeza bagi mengurangkan impak hakisan pantai yang sedang berlaku.

“Secara dasarkan kawasan utara lebih kritikal daripada selatan. Oleh itu, pembinaan benteng penahan dan pemecah ombak sudah tidak mampu lagi mengalami masalah (hakisan pantai),” katanya kepada Kosmo! .

Effi Helmy berkata, tenaga ombak yang menjadi punca ha­kisan sukar lagi diuraikan dengan benteng tersebut menyebabkan ia semakin merebak ke kawasan lain.

Jelas beliau, benteng ber­kenaan akan mengalihkan ombak besar ke kawasan berhampiran, sekali gus mencetuskan hakisan pantai.

“Sebagai contohnya, pembinaan benteng penahan ombak di Pantai Tok Jembal dipercayai te­lah menjejaskan Batu Rakit, Kuala Nerus; Merang, Bari dan Penarik, Setiu.

“Lokasi-lokasi itu kini mula merasai impak hakisan pantai pula sejak beberapa tahun kebe­lakangan ini,” ujarnnya.

Sehubungan itu, Effi Helmy mencadangkan sebahagian kawasan pesisir pantai di Kuala Nerus ‘dikorbankan’ menjadi tanjung secara semula jadi.

Jelas beliau, kewujudan tanjung secara semula jadi dalam tempoh beberapa tahun itu akan mengurangkan impak ha­kisan di daerah itu, sekali gus menyelamatkan juga kawasan lain.

Begitupun, Effi Helmy berkata, pembinaan benteng pemecah ombak masih efektif untuk me­ngurangkan impak hakisan pantai di kawasan selatan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS Terengganu, Osman Abdullah berkata, cadangan penyelesaian jangka panjang isu hakisan pantai di negeri ini akan dikemukakan untuk perhatian kerajaan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Beliau mengakui morfologi pantai Terengganu banyak berubah sejak tahun 2017 dengan beberapa kawasan yang stabil sebelum ini mulai terjejas dengan hakisan atas pelbagai faktor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI