fbpx

5 rakan diberkas proses ketum bernilai RM3,340

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Fakhrudin menunjukkan air dan daun ketum yang dirampas, di IPD Petaling Jaya, hari ini.- Foto oleh NURUL IZZATI ZAINI/KOSMO!

PETALING JAYA – Kegiatan lima rakan memproses dan menjual air ketum di sebuah rumah di kawasan Taman Medan, Petaling Jaya, akhirnya terbongkar apabila polis membuat serbuan, kelmarin.

Dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang itu, 92 botol plastik lutsinar yang berisi air ketum sebanyak 1.5 liter setiap satu dan 50 kilogram plastik bungkusan mengandungi helaian daun ketum telah dirampas.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, setiap air ketum dijual pada harga RM15 sebotol manakala setiap bungkusan 5 kilogram daun ketum dijual pada harga RM40 kepada pelanggan tetap di kawasan sekitar daerah ini.

“Bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, telah berjaya menahan lima lelaki warganegara berusia diantara 23 hingga 37 tahun ketika pemprosesan sedang dilakukan.

“Hasil pemeriksaan mendapati dua buah bilik di dalam rumah tersebut telah diubahsuai menjadi tempat memasak dan penyimpanan daun ketum.

“Nilai keseluruhan rampasan daun dan air ketum beserta beberapa barang pemprosesan yang lain adalah sebanyak RM3,340,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Petaling Jaya, hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, berdasarkan siasatan, kesemua suspek tidak mempunyai pekerjaan tetap dan aktiviti pemprosesan air ketum itu telah dilakukan sejak tiga bulan lepas.

Jelasnya lagi, empat daripada lima suspek mempunyai rekod dadah dan jenayah lampau dimana suspek pertama pernah ditangkap dan didenda tiga kali atas kes yang sama pada tahun 2019.

Kesemua suspek telah ditahan reman selama empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 (Pindaan 2022).

Suspek juga boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) Akta Sama dimana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI