fbpx

320,000 pencarum desak kerajaan benar pengeluaran KWSP bersasar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wakil PGIRM dan GHRF berkumpul bagi menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri di pekarangan Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini. foto : FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

PUTRAJAYA- Kira-kira 320,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di seluruh negara yang mempunyai baki simpanan melebihi RM100,000 mendesak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S. Shashi Kumar berkata, desakan itu disuarakan kerana rakyat sedang bergelut dengan situasi ekonomi negara terjejas teruk selepas Covid-19 serta tekanan kos sara hidup.

Menurutnya, kerajaan juga tidak seharusnya memainkan sentimen pencarum KWSP memiliki jumlah simpanan sangat kecil dan dibawah RM10,000 kerana rata-rata yang mendesak pengeluaran kecemasan itu mempunyai jumlah simpanan di dalam akaun persaraan melebihi RM100,000.

“Pengeluaran kecemasan KWSP secara bersasar ini perlu disegerakan, bukan sebab peningkatan kos sara hidup sahaja, tapi ramai kehilangan kerja ketika pandemik dan kini susah untuk mendapat pekerjaan baharu akibat faktor umur.

“Kalau kita lihat lebih ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu rakyat dalam kesusahan, tapi ada ke Ahli Parlimen yang pergi ke kawasan masing-masing, dekati dan tanya masalah rakyat?,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membenarkan pengeluaran KWSP di luar bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu tiga NGO terdiri daripada GHRF, Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia tampil menyerahkan memorandum yang disampaikan kepada Pembantu Khas Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri, Muhammad Fikri Khalid.

Mengulas lanjut, Shashi berkata, Kerajaan Perpaduan perlu mempertimbangkan isu ini secara lebih serius dan membenarkan pengeluaran KWSP tanpa ditangguh lagi.

“Pengeluaran KWSP ini mungkin bukan penyelesaian kekal tetapi ia pasti membantu banyak pihak untuk meringankan beban terutamanya bagi golongan B40 dan M40.

“Mereka memerlukannya untuk menjalani kehidupan dan membebaskan diri daripada beban hutang kewangan yang menghantui ketika ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI