KANGAR – Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) merekodkan sebanyak 23 kes sijil pernikahan palsu yang dikeluarkan oleh sindiket nikah Siam sejak lima tahun lalu.
Jumlah itu tidak termasuk pasangan yang berkahwin di Thailand tetapi tidak membuat pendaftaran perkahwinan mereka semula di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Azmir Azizan berkata, semua sijil pernikahan itu ditolak JAIPs selepas mendapati ia adalah palsu.
Jelasnya, pasangan yang menjadi mangsa sindiket datang dari seluruh negara.
“Sindiket ini dikatakan bawa jurunikah dari Thailand dengan pernikahan dibuat di negeri sempadan termasuk negeri ini, Kedah dan Kelantan,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! mengenai nikah separuh jalan di Siam membabitkan penipuan sindiket ke atas pasangan yang tidak mempunyai ilmu mengenai selok belok berkahwin di Thailand.
Berita berkaitan: Kahwin separuh jalan di Siam angkara ditipu sindiket
Berita berkaitan: Sindiket nikah palsu juga ada di Setiu, Pasir Puteh
Kata Azmir, kerajaan negeri menyarankan agar pasangan yang ingin berkahwin supaya mengikut saluran dan undang-undang ditetapkan kerana ia akan memberi kesan kepada perkahwinan itu pada masa depan.
“Setiap pasangan yang ingin teruskan perkahwinan boleh datang ke JAIPs untuk dapatkan khidmat nasihat perkahwinan yang bakal dilangsungkan.
“Jabatan agama Islam itu akan membantu mereka dengan sebaik mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, menurutnya, masyarakat khususnya bakal pengantin perlu lebih peka dengan sebarang tindakan dan merujuk kepada jabatan agama sekiranya terdapat keraguan dalam proses pernikahan mereka.
“Perkahwinan tidak sah di luar negara adalah isu serius kerana menyebabkan pasangan tidak dapat mendaftarkan perkahwinan mereka selain berisiko dipisahkan (Farak) oleh Mahkamah Syariah.
“Selain itu, apabila perkahwinan tidak didaftarkan, akan ada masalah nasab (keturunan) anak, kemasukan ke sekolah dan pembahagian faraid,” jelasnya.