fbpx

WHO adakan mesyuarat tergempar susulan 9 kematian wabak Marburg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG doktor daripada WHO mengambil sampel oral daripada seorang wanita yang disyaki menghidap virus Marburg di Kinguangua, Angola pada 6 Mei 2005. - AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin sebagai tindak balas kepada perkembangan terkini wabak Marburg yang mengorbankan sembilan nyawa di Benua Afrika, lapor akhbar New York Post.

Sekurang-kurangnya sembilan orang telah disahkan meninggal dunia akibat wabak yang pertama kali tercetus di Equatorial Guinea, sekali gus mendorong pegawai-pegawai WHO untuk bertemu bagi membincangkan kemajuan mengenai jenis-jenis vaksin dan rawatan terhadapnya.

Virus Marburg adalah salah satu penyakit paling membawa maut yang diketahui manusia dan ia menyebabkan demam berdarah dengan nisbah kematian setinggi 88 peratus berbanding wabak Ebola, demikian menurut WHO.

Seperti Ebola, penyakit itu tersebar kepada orang ramai daripada haiwan iaitu kelawar buah dan merebak antara manusia menerusi sentuhan langsung dengan cecair pada badan pesakit atau permukaan seperti cadar dan pakaian.

“Marburg sangat berjangkit. Atas tindakan pantas dan tegas oleh pihak berkuasa Equatorial Guinea dalam mengesahkan penyakit itu, tindak balas kecemasan dapat dilaksanakan dengan cepat supaya banyak nyawa dapat diselamatkan,” kata Pengarah Wilayah WHO untuk Afrika, Dr. Matshidiso Moeti.

Sampel dari Equatorial Guinea dihantar ke makmal di Senegal untuk menentukan punca wabak itu selepas pegawai kesihatan tempatan memberikan amaran mengenai penyakit tersebut pada minggu lalu.

Setakat ini, sembilan orang daripada 16 kes yang disyaki telah meninggal dunia, dengan gejala termasuk demam, keletihan, cirit-birit dan muntah berdarah.

“Gejala itu berlaku dengan pantas dan pesakit biasanya mengalami gejala pendarahan teruk dalam masa tujuh hari,” kata WHO.

Selepas berhari-hari dijangkiti, pesakit akan menunjukkan ciri-ciri seperti bola mata yang mendalam, wajah tanpa ekspresi dan kelesuan melampau, demikian menurut agensi tersebut. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI