MELAKA – Seorang pengusaha dobi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah dan menyalahgunakan harta membabitkan mesin dobi serta wang tunai berjumlah RM3.24 juta, empat tahun lalu.
Tertuduh, Terrence Conrad Fernandez, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan pertama tertuduh sebagai individu diamanahkan dengan harta iaitu sejumlah mesin dobi milik Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. dianggarkan bernilai RM3,222,089.01, secara tidak jujur menggunakan harta tersebut.
Perbuatan itu dilakukan dengan cara melanggar kontrak iaitu tidak menghantar mesin-mesin berkenaan ke sebuah premis disewa syarikat terbabit di Pulau Pinang, sebaliknya meletakkanny di sebuah premis yang disewa tertuduh sendiri di Kuantan, Pahang.
Kesalahan itu dilakukan ketika tertuduh berada di Kilang Eurostar Tractorss (M) Sdn. Bhd. di Lot PT Jalan PK 8 Kawasan Perindustrian Krubong dalam daerah Melaka Tengah pada Januari 2019.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa secara tidak jujur menggunakan wang RM24,000 milik syarikat sama dengan memasukkannya ke dalam akaun Bank Hong Leong miliknya yang sepatutnya diamanahkan untuk pembayaran sewa premis di Pulau Pinang bagi meletakkan mesin dobi terbabit.
Perbuatan itu dilakukan ketika berada di Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. di Unit 1002, Level 10 Blok A Kelana Centrepoint, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Januari 2019.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM50,000 dikenakan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara.
Beliau juga memohon agar syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan sekali dalam sebulan di balai polis berhampiran sehingga perbicaraan selesai.
Peguam, James S. Thanjong Tuan yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya hanya mengusahakan kedai dobi dengan pendapatan kira-kira RM4,000 sebulan dan penanggung tunggal bagi isteri serta dua anak kecil.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.
Beliau turut menetapkan tarikh 21 Mac depan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE