fbpx

Sukan SEA bukan pentas Azeem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM perlu diberi ruang untuk menumpukan fokusnya di AS dan KOM perlu memberi ruang pelari lain beraksi pada Sukan SEA Kemboja nanti.

BEKAS pelari pecut kebangsaan, Watson Nyambek menasihati Muhammad Azeem Fahmi agar tidak pulang ke Malaysia semata-mata untuk mewakili negara pada temasya Sukan SEA Kemboja pada Mei nanti.

Watson, 46, berpendapat Sukan SEA bukan lagi tempat buat Azeem sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya untuk memburu kejayaan lebih tinggi terutamanya menjadi pelari pecut pertama Malaysia layak ke Sukan Olimpik secara merit.

Kelmarin, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengakui pihaknya bersedia untuk ‘terbang’ ke AS bagi memastikan pelari pecut kebangsaan itu dapat mewakili negara pada temasya Sukan SEA Kemboja yang bakal berlangsung dari 5 hingga 17 Mei ini.

“Pada pandangan saya, jika saya berada di tempat Azeem saya mungkin tak akan lari mewakili negara pada temasya Sukan SEA, Mei nanti. Dia (Azeem) sudah berada di tahap profesional dan pencapaiannya juga semakin meningkat.

“Jadi, dia perlu letakkan sasaran lebih tinggi seperti memburu kelayakan ke Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia mahupun di Sukan Asia. Dia tak boleh turun sertai temasya Sukan SEA, semata-mata untuk dapatkan 10 pi­ngat emas untuk KOM.

“Bagi saya, standard Azeem bukan lagi Sukan SEA. Sukan SEA ini tahap dia macam kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN. Jadi, bukan pilihan baik untuk Azeem ‘downgrade’ tahapnya ke Sukan SEA,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sewaktu di Sukma SEA Viet­nam, Azeem kecewa selepas gagal membutirkan pingat buat negara apabila melakukan ‘false start’ pada saringan 100 meter (m) lelaki di Stadium Nasional My Dinh sekali gus menyebabkan impian Malaysia meraih emas acara berkenaan tidak tercapai.

Dalam pada itu, Watson yang terkenal dengan gelaran ‘The Flying­ ­Dayak’ berharap KOM mempunyai pilihan lain selain Azeem dan memberi peluang kepada muka-muka baharu untuk bersaing di Kemboja nanti.

Sebagai rekod, Azeem yang kini berlatih dan melanjutkan pengajian di Universiti Auburn telah dua kali memecahkan rekod kebangsaan acara 60m de­ngan catatan 6.62 saat (s) dalam dewan sekali gus mengatasi rekod milik Watson yang mencatat 6.66s pada Kejohanan Dunia 1999 di Maebashi, Jepun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI