KEMAMAN – Seorang penjaga gajah di Taman Rekreasi dan Zoo Kemaman di sini cedera parah selepas diserang seekor gajah jantan seberat 1.5 tan jagaannya pada 5 Februari lalu.
Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Musbaha Din, 37, cedera parah pada bahagian perut kirinya selain mengalami pendarahan beberapa organ dalaman akibat ditusuk gading gajah berusia 13 tahun tersebut.
Menceritakan semula detik cemas berkenaan, bapa kepada dua anak berkenaan berkata, sewaktu kejadian, dia dan tiga rakan sekerjanya, sedang memandikan gajah dikenali sebagai ‘Talong’ berkenaan.
“Sewaktu sedang dimandikan, ‘Talong’ tiba-tiba bertindak agresif lalu meluru dan menyerang saya.
“Saya sedaya upaya mengelak namun sebatang gading gajah terbabit mengenai perutn sebelum badan saya terhimpit pada sebatang kayu,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Baru Sarang Lang, Kemasik di sini hari ini.
Musbaha berkata, dia dikejarkan ke Hospital Kemaman di sini sebelum menjalani pembedahan dan menerima 15 jahitan pada bahagian perut akibat serangan gajah itu.
Tambahnya, dia dibenarkan keluar wad pada Sabtu lalu dan doktor yang merawat memberitahu tusukan gading gajah tersebut sudah menembusi lapisan kedua perutnya. – KOSMO! ONLINE