PETALING JAYA – Seorang lelaki dipercayai pengusaha kantin memarahi seorang wanita yang merupakan peniaga nasi lemak RM1 kerana didakwa menutup periuk nasinya.
Menurut pemilik TikTok @Teacher Aina Home Tuition, kejadian itu berlaku semalam, yang mana lelaki berkenaan menyerangnya serta mendakwa dia menutup jalan utama sekali gus menyebabkan perniagaan lelaki terbabit terjejas.
“Akak tutup jalan kami. Kalau nasi lemak akak RM1, matilah kami dekat dalam (kantin),” kata lelaki terbabit.
“Nasi lemak abang tak habis jadi abang nak salahkan saya ke?” soal Aina.
Menerusi video berdurasi hampir tujuh minit itu, individu berkenaan turut bertindak mempersenda keadaan fizikal peniaga wanita tersebut.
Sehubungan itu, lelaki tersebut meminta pemilik TikTok terbabit supaya berniaga di kawasan lain sebelum dia mengambil tindakan melaporkan hal itu kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Sini akak potong (jual) RM1 sedangkan saya jual nasi lemak di dalam (kantin) RM3,”ujarnya.
Pada masa sama, seorang lagi lelaki dilihat cuba menenangkan keadaan dan berusaha meleraikan pergaduhan mulut yang tercetus antara mereka berdua. – KOSMO! ONLINE.