fbpx

Pembaziran RM825.98 juta libatkan pengurusan Covid-19 dan pembangunan Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 mendedahkan bahawa semakan audit yang dilakukan mendapati telah berlakunya pembaziran sebanyak RM825.98 juta melibatkan pengurusan wabak Covid-19 dan pengurusan pembangunan Putrajaya.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, kes pembaziran itu melibatkan antaranya berkaitan peralatan ventilator yang dibeli namun tidak dapat digunakan, penangguhan projek monorel dan depoh bas yang tidak digunakan.

“Terdapat juga satu kes melibatkan pembayaran tidak teratur bernilai RM100,000 iaitu program pengurusan perkhidmatan ambulans dan kes yang dibangkitkan adalah perkhidmatan udara dilaksanakan sebelum pesanan tempatan.

“Dapatan ini adalah susulan daripada tujuh pengauditan prestasi bernilai keseluruhan RM66.862 bilion yang telah dilaksanakan melibatkan tujuh kementerian dan direkodkan menerusi LKAN Tahun 2021 Siri 2,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi taklimat LKAN Tahun 2021 Siri 2 di sini hari ini.

Tambah beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak empat pengauditan bernilai RM32.520 bilion merupakan kategori program atau aktiviti serta dua pengauditan bernilai RM34.342 bilion yang membabitkan projek.

“Hasil pengauditan dilaksanakan, Jabatan Audit Negara telah mengemukakan 21 syor diambil tindakan kementerian, jabatan atau agensi antaranya setiap cadangan projek terlebih dahulu dijalankan kajian terperinci sebelum diluluskan,” ujar beliau.

Terdahulu, Nik Azman memaklumkan bahawa LKAN Tahun 2021 Siri 2 itu telah dibentangkan di Parlimen pagi tadi dan kandungannya turut diterbitkan hari ini menerusi pautan https://lkan.audit.gov.my/. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI