MELAKA – Sebuah pasar raya terkemuka dikesan berdegil ‘menyorokkan’ pekerja warga asing dengan menyediakan tempat tinggal secara haram di dalam bangunan beli-belah itu dalam satu serbuan di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu dilakukan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) diketuai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Mohd. Asri Abdul Wahab.
Mohd. Asri berkata, syarikat itu sebelum ini telah diminta untuk mendapatkan terlebih dahulu Sijil Kelulusan Mendudukan Bangunan (CF) daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan Sijil Perakuan Penginapan diberikan pihak JTK.
“Pada tahun lalu syarikat pasar raya ini ada membuat permohonan daripada pihak JTK untuk menempatkan pekerja mereka di dalam bangunan itu, namun ditolak kerana mereka tidak mendapat sijil CF daripada PBT.
“Kita telah mengarahkan supaya pekerja-pekerja warga asing itu dipindahkan ke tempat lain dalam kadar segera, namun pihak syarikat terus ingkar dengan menjadikan ruang tingkat atas bangunan sebagai kediaman pekerja,” katanya pada sidang akhbar Op Pematuhan Gaji Minimum (PGM) di Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Tambahnya, hasil soal siasat dilakukan turut mendapati syarikat terbabit bertindak ‘memegang’ pasport pekerja tersebut dan hanya memberikan salinan dokumen.
“Majikan juga tidak menyediakan lokar berkunci untuk para pekerja ini menyimpan barang berharga mereka, satu kertas siasatan akan dibuka melibatkan kesalahan-kesalahan dilakukan.
“Kita juga syaki syarikat ini melakukan kesalahan di bawah bidang kuasa Perkhidmatan Pekerjaan, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya. – KOSMO! ONLINE