JAKARTA – Ketua sebuah persatuan pengendali ular di Indonesia yang terkenal kerana kepakaran dalam mengendalikan haiwan berbisa itu meninggal dunia selepas dipatuk seekor tedung selar di Banjarmasin, wilayah Kalimantan Selantan, lapor portal berita Coconuts semalam.
Aji Rachmat Purwanto merupakan pengasas bersama dan Ketua Yayasan Ular Indonesia Sioux. Yayasan itu ditubuhkan untuk menyelamatkan ular serta menyediakan latihan kendalian ular.
Menurut kenyataan akhbar persatuan itu, pada 12 Februari lalu, Aji sedang mengendalikan seekor ular tedung selar semasa sesi latihan apabila dia tiba-tiba dipatuk reptilia itu.
Dia dikejarkan ke hospital dan meninggal dunia selepas dua hari ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).
Kematian Aji dilihat sebagai kisah peringatan kepada orang ramai bahawa pakar ular yang paling berpengalaman pun berdepan maut ketika mengendalikan haiwan itu.
Pada Oktober tahun lepas, seorang lagi pakar ular dari wilayah Jawa Timur maut selepas dipatuk ular tedung selar peliharaannya. – Agensi