fbpx

Masa depan 7 juta kanak-kanak di Turkiye, Syria suram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK makan di sebuah kem perlindungan sementara untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal di Jindayris, Syria pada 9 Februari lalu. – AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Lebih tujuh juta kanak-kanak terjejas akibat bencana gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria minggu lalu, demikian menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin, sambil menyuarakan kebimbangan bahawa ribuan lagi kehilangan nyawa.

“Di Turkiye, seramai 4.6 juta kanak-kanak tinggal di 10 wilayah yang terjejas dengan gempa bumi manakala di Syria, 2.5 juta kanak-kanak telah terjejas,” kata jurucakap Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef), James Elder kepada pemberita di Geneva.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pasukan mencari dan menyelamat terus menggali sisa runtuhan bagi menyelamatkan mangsa yang telah menyebabkan lebih 41,000 orang terkorban setakat petang semalam.

“Unicef bimbang ribuan kanak-kanak lagi mungkin telah terkorban. Walaupun tidak mempunyai angka rasmi, jelas di sini bahawa jumlah korban (melibatkan kanak-kanak) akan meningkat,” jelasnya.

Dengan situasi di Turkiye dan Syria yang kini bagaikan malapetaka, Elder berkata, sejumlah besar kanak-kanak menjadi yatim piatu sekelip mata dalam gempa bumi tersebut.

“Ia adalah satu angka yang menakutkan,” ujar beliau.

Selain daripada jasad mangsa yang ditemui di bawah runtuhan bangunan, beratus-ratus ribu orang yang kehilangan tempat tinggal kini berdepan cuaca sejuk dan kelaparan.

Keluarga dan kanak-kanak terpaksa tidur di jalan-jalan, pusat beli-belah, sekolah, masjid, stesen bas dan di bawah jambatan. 

“Mereka tinggal di kawasan terbuka kerana takut untuk pulang ke rumah.

“Berpuluh-puluh ribu keluarga turut terjejas kepada situasi di mana suhu menjadi sejuk melampau selain salji serta hujan lebat,” kata Elder sambil merujuk kepada peningkatan bilangan kanak-kanak yang mengalami hipotermia dan jangkitan pernafasan.

Dalam perkembangan berlainan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, gempa bumi yang menggegarkan Turkiye dan Syria merupakan ‘bencana alam terburuk’ di Benua Eropah dalam tempoh 100 tahun.

“Kita menyaksikan bencana alam terburuk di rantau Eropah dalam tempoh satu abad dan masih menyiasat mengenai kekuatan gempa itu,” kata Pengarah Serantau WHO untuk Eropah, Hans Kluge.

WHO rantau Eropah terdiri daripada 53 buah negara termasuk Turkiye manakala Syria merupakan ahli WHO bagi rantau jiran, Mediterranean Timur.

Kluge berkata, agensi PBB itu telah memulakan penempatan terbesar pasukan perubatan kecemasan dalam sejarah 75 tahun di rantau WHO Eropah.

“Sebanyak 22 pasukan perubatan kecemasan telah tiba di Turkiye setakat ini,” kata Kluge sambil menambah, ia akan diintegrasikan dengan tindak balas kesihatan berterusan Turkiye.

Ujarnya, keperluan bantuan kecemasan amat besar dan meningkat setiap jam dengan kira-kira 26 juta orang di kedua-dua negara memerlukan bantuan kemanusiaan.

PBB Selasa lalu melancarkan rayuan bantuan kemanusiaan berjumlah AS$397 juta (RM1.7 bilion) bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Syria.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengumumkan rayuan tersebut di ibu pejabat PBB di New York dengan berkata, dana itu akan menyalurkan bantuan yang boleh menyelamatkan nyawa hampir lima juta rakyat Syria serta akan meliputi tempoh tiga bulan.

Tambah Guterres, PBB kini berada dalam peringkat terakhir bagi memohon rayuan yang sama untuk Turkiye.

Beliau turut menyeru negara-negara ahli untuk membiayai sepenuhnya usaha itu tanpa berlengah dan membantu jutaan kanak-kanak, wanita serta kaum lelaki yang kehidupan mereka telah terjejas akibat bencana itu. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI