fbpx

Majestic Johor bawa Radja temui peminat di Arena Larkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FARID (empat dari kiri) dan Dr. Azlan (tengah) pada sidang akhbar Konsert Radja Majistec Johor di Hard Rock Cafe, Puteri Harbour, Iskandar Puteri. - Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/ KOSMO!

ISKANDAR PUTERI – Kumpulan muzik rock terkenal Indonesia, Radja Band bakal mengadakan konsert Radja Majistec Johor pada 11 Mac depan.

Konsert band berasal dari dari Banjarmasin, Indonesia itu dijadualkan dianjurkan secara ‘live’ di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

Menurut Pengurus ASEAN liaisons of Radja Band, Farid Hamid berkata, Radja yang ditubuhkan pada 17 Mac 1999 akan menyajikan 16 buah lagu malar segar untuk halwa telinga para peminatnya.

“Konsert Radja merupakan julung kali diadakan di Johor mendapat kerjasama daripada Tourism Johor serta penganjur MEE2 Events. Johor ini merupakan lokasi strategik, kita boleh bawa peminat dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia serta Singapura.

“Sebanyak 16 buah lagu akan dipersembahkan dalam konsert itu nanti antara ‘killer song’ ialah Jujur, Tulus, Benci Bilang Cinta dan Takkan Melupakanmu.

“Sudah pastinya konsert kali ini akan diatur dengan beberapa ciri kelainan hasil idea bersama Tourism Johor, tunggu dan lihat dalam konsert nanti,”katanya pada sidang akhbar di Hard Rock Cafe, Puteri Harbour di sini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Johor, Dr. Azlan Abd Jalil berkata, dengan adanya konsert ini, pelbagai limpahan ekonomi setempat akan turut terkesan antaranya pemain industri hospitaliti perhotelan, makanan dan minuman serta pengangkutan.

Jelasnya, Tourism Johor mengalu-alukan kesudian Radja mengadakan konsert di negeri ini malah pihaknya bakal menganjurkan konsert yang lain dengan menjemput artis-artis dari luar negara.

“Tourism Johor akan membawa lebih banyak artis-artis dari dalam dan luar negara, ini merupakan salah satu acara dalam mempromosikan agenda pelancongan negeri Johor kepada orang ramai bukan sahaja rakyat tempatan malah mengajak pelancong antarabangsa datang ke negeri ini,”katanya.

Dalam pada itu, Pengarah MEE2 Events, Nurzalinda Azmi berkata, penjualan tiket telah dibuka kepada semua peminat melalui dalam talian di www.ticket2u.com.my dan sehingga 13 Februari lalu sebanyak 1,000 unit telah terjual.

Sebanyak lima kategori jenis tiket ditawarkan dengan harga berpatutan bermula dengan Silver RM68, Gold (RM108), Rockzone (RM129), VIP (RM299) serta MIP (RM799). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI