IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan bermesyuarat pada 2 Mac hadapan bagi membincangkan isu berkaitan tauliah mengajar agama oleh wakil rakyat di negeri.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini berkata, beliau berpandangan seorang wakil rakyat yang bertauliah tidak seharusnya dihalang untuk berbuat demikian kerana mereka mempunyai ilmu pengetahuan dalam bidang tersebut.
Menurutnya, halangan juga tidak seharusnya dikenakan sekiranya wakil rakyat tersebut tidak mengajar sesuatu yang mengarut serta bertentangan dengan hukum-hukum syarak.
“Saya akan bawa perkara ini (ke mesyuarat tersebut) dan setelah keputusan dicapai, kita akan angkat sembah kepada Tuanku Sultan untuk kita keluarkan satu garis panduan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, beliau hadir di Majlis Penyerahan Buku Belajar Asas Membaca al-Quran Kaedah Muallim, Mari Belajar Jawi KSSR dan Fahami Bacaan Solatmu di Hotel Casuarina@Meru di sini.
Pekeliling dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bertarikh 26 Oktober 2022 menyatakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah pada 24 Oktober 2019 untuk tidak membenarkan sebarang aktiviti politik diadakan di premis masjid atau surau baik daripada parti kerajaan mahupun pembangkang.
Antara terkandung dalam larangan tersebut termasuklah untuk tidak menyampaikan sebarang bentuk ucapan serta paparan lambang dan nama parti di masjid atau surau.
Mengulas lanjut, Mohd. Annuar berkata, berhubung garis panduan yang akan diputuskan tersebut, MAIPk akan mendengar pandangan daripada kesemua pihak terlibat dan tidak hanya memberi tumpuan kepada satu-satu pihak.
“Apabila Tuanku Sultan telah buat keputusan, kita mungkin akan panggil semua ketua parti untuk menerangkan (tentang garis panduan),” katanya.
Beliau turut menegaskan MAIPk tidak berpihak dengan mana-mana parti politik dan kekal konsisten dalam isu tersebut. – KOSMO! ONLINE