KANGAR – Seorang kontraktor mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender meroboh dan membina semula premis perniagaan, dua tahun lalu.
Tertuduh, Noorul Atifah Ahmad Suki, 44, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, pemilik syarikat Atidania Enterprise itu didakwa mengemukakan penyata bank milik syarikatnya kepada Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang mengandungi butiran palsu.
Dokumen tersebut digunakan untuk mendapatkan kontrak meroboh dan membina semula 16 unit gerai usahawan dan kemudahan lain berkaitan di tanah kerajaan mukim Utan Aji, Perlis bernilai RM469,498.20.
Kesemua kesalahan itu dilakukan di pejabat PKENPs di sini antara 8 hingga 16 Julai 2021.
Pendakwaan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE