PUTRAJAYA – Seorang bekas pekerja kilang kekal dipenjara sembilan tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas tiga pertuduhan merompak dan mencuri di tiga buah kedai serbaneka di Johor Bahru dua tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah bersama-sama Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Lim Chong Fong selepas menolak rayuan akhir Ahmad Sadeli Mohd. Ali, 32, selaku perayu bagi mengurangkan hukuman.
“Setelah kami meneliti fakta kes ini kami mendapati bahawa hukuman tiga tahun penjara (bagi setiap pertuduhan) adalah tidak berat.
“Oleh demikian keputusan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi berhubung hukuman penjara adalah betul manakala hukuman-hukuman berkaitan adalah dikekalkan,” kata Hanipah.
Dalam prosiding hari ini, Ahmad Sadeli diwakili peguam Bustaman Menon manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wong Poi Yoke.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua Ahmad Sadeli didakwa merompak wang tunai RM747 telefon bimbit dan dua kotak rokok Dunhill Red Classic dan semasa melakukan rompakan itu, Ahmad Sadeli turut bersenjatakan pisau yang boleh mendatangkan kematian.
Kesalahan itu dilakukan di dua buah kedai serbaneka di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram dan Taman Mesra, Seleng di Johor Bahru masing-masing pukul 10.30 pagi dan 11.05 pagi pada 19 Disember 2021.
Sementara bagi pertuduhan ketiga Ahmad Sadeli didakwa mencuri wang tunai RM150 dan telefon bimbit milik seorang wanita di sebuah kedai serbaneka di Taman Nusantara, Gelang Patah, Johor Bahru pukul 3.30 pagi pada 4 Disember 2021.
Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.
Sebelum ini, pada 28 Disember 2021 Mahkamah Sesyen Johor Bahru menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan dua sebatan masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua serta penjara sama bagi pertuduhan ketiga.
Ia selepas Ahmad Sadeli selaku tertuduh ketika itu mengaku bersalah atas semua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah Sesyen memerintahkan hukuman penjara itu berjalan secara berasingan yang mana Ahmad Sadeli perlu menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun dan empat sebatan.
Kemudian pada 27 Jun 2022 Mahkamah Tinggi Johor Bahru turut mengekalkan hukuman sama. – KOSMO! ONLINE