KUALA TERENGGANU – Maybank dan Pasukan Hoki Terengganu (THT) terpaksa berpuas hati berkongsi mata setelah seri 2-2 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Maybank kekal memimpin carta Liga Hoki Malaysia (MHL) dengan kelebihan jaringan manakala THT di tangga kedua walaupun berkongsi 10 mata daripada empat perlawanan.
Pertembungan dua pasukan teratas liga itu berlangsung sengit dengan Faizal Saari terlebih dahulu meletakkan THT di depan dengan menyambar hantaran Muhd. Marhan Jalil pada minit ke-17.
Maybank bagaimanapun kembali mengimbangi permainan dan mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-30 menerusi jaringan sudut penalti daripada Muhamad Izham Azhar.
Saingan suku ketiga makin rancak namun percubaan berturut-turut Akhimullah Anuar Esook dan Fitri Saari pada minit ke-33 diselamatkan penjaga gol Maybank, Zaimi Mat Deris.
Zaimi yang juga penjaga gol kebangsaan terus cemerlang menafikan pukulan sudut penalti tonggak THT, Jang Jonghyun pada minit ke-43 dan minit ke-49.
Maybank yang sesekali melancarkan serangan balas hampir mengejutkan tuan rumah malangnya hantaran Najmi Farizal Jazlan (m-51) gagal disambar rakan sepasukan di depan pintu gol.
Kem THT kembali ceria selepas gerakan Shello Silverius dari sebelah kanan disudahkan Fitri yang melakukan pukulan kencang menewaskan penjaga gol lawan pada minit ke-54.
Razie Abd. Rahim muncul wira Maybank dengan bola pukulan sudut penaltinya, 20 saat sebelum wisel penamat menerjah jaring untuk menjadikan kedudukan 2-2 sekali gus melegakan kem pelawat. – KOSMO! ONLINE