JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Depok, wilayah Jawa Barat terkejut apabila menemui wang simpanan milik seorang lelaki yang menghidap masalah mental berjumlah 100 juta rupiah (RM29,005) di rumahnya, lapor portal berita Okezone semalam.
Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Minan, sebelum itu meninggal dunia.
Ketika hidupnya, dia dikatakan sering menerima wang sumbangan orang ramai yang bersimpati melihat keadaannya.
“Arwah tidak meminta-minta tetapi menerima sumbangan daripada orang yang keluar masuk ke stesen minyak dan dikumpul selama berpuluh-puluh tahun.
“Sebelum meninggal dunia, dia dikhabarkan jatuh sakit dan hidup sebatang kara,” demikian menurut keterangan daripada sebuah klip video yang dikongsikan di media sosial.
Berdasarkan video tersebut, beberapa orang dilihat mengumpul dan mengira wang di rumah Minan.
“Kami menemui wang dalam rumah Minan yang selepas dikira, ia berjumlah 100 juta rupiah (RM29,005),” kata hantaran tersebut. – Agensi