DUBLIN, Ireland – Seorang lelaki warga Ireland ditemui meninggal dunia dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang oleh seekor ayam yang ganas, lapor akhbar New York Post semalam.
Jasper Kraus dari Killahornia dibunuh oleh seekor ayam Brahma pada 28 April 2022, demikian menurut satu inkues di Ballaghederreen seperti laporan Pemeriksa Ireland.
Anak perempuan Kraus, Virginia Guinan berkata, mangsa sedang tidur pada hari kejadian. Dia tidak mahu membangunkan bapanya kerana mangsa tidak sihat dan kesedihan kerana anjingnya mati.
Setelah dimaklumkan mengenai pertumpahan darah itu, Guinan bergegas pulang ke rumahnya di mana dia melihat bapanya yang terbaring dalam kolam darah diberikan bantuan pernafasan (CPR) oleh anggota paramedik.
Satu jejak menuju ke rumah ayam di mana dia melihat salah seekor haiwan itu mempunyai kesan darah pada cakarnya. Guinan mengesyaki ia ayam yang sama dihantar ke ladang selepas menyerang cucu perempuan Kraus.
Seorang penyewa di rumah itu, Corey O’Keeffe berkata, dia mendengar Kraus menjerit semasa diserang dan melihat darah memancut dari kaki mangsa, serta luka besar di betisnya.
Dia menghubungi perkhidmatan kecemasan dan dibimbing untuk melakukan CPR selepas Kraus tidak sedarkan diri.
Dr. Annette Jennings berkata semasa inkues bahawa ketika dia tiba, anggota paramedik mengambil alih CPR dan cuba memulihkan Kraus, tetapi dia disahkan meninggal dunia.
Koroner merekodkan kes itu sebagai ‘kecelakaan’, walaupun mangsa mengalami serangan jantung ketika diserang ayam ganas itu. – Agensi