ANKARA – Pasukan tindak balas bencana menyelamatkan beratus-ratus haiwan ketika usaha mencari dan menyelamat diteruskan di selatan Turkiye sejak gempa bumi terburuk menggegarkan negara itu pada minggu lalu, lapor agensi berita Anadolu Agency kelmarin.
Di Hatay, salah satu daripada 10 wilayah yang dilanda gempa bumi berkembar itu, lebih 300 haiwan telah diselamatkan termasuk beribu-ribu penduduk yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di kawasan bencana.
Ahli kanan Persatuan Perlindungan Haiwan di bandar itu, Ibrahim Gocer berkata, walaupun dia kehilangan ramai saudara di Hatay, dia mengetepikan kesedihan dan bergegas membantu mangsa gempa bumi temasuk haiwan yang tersepit di sebalik runtuhan.
“Saya di sini bersama rakan sepasukan. Kami melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan nyawa orang ramai.
“Saya telah kehilangan ramai orang termasuk saudara-mara dan rakan terdekat tetapi kami perlu bangkit. Kami perlu kekal bertenaga. Nyawa (haiwan) ini juga penting,” katanya.
Anggota penyelamat membawa haiwan yang diselamatkan ke tempat perlindungan di mana ia akan dijaga dan dirawat.
Ayse Taskiran, yang mengetuai pasukan itu berkata, pasukannya sedang berusaha menyelamatkan nyawa mangsa gempa bumi bukan manusia berdasarkan laporan yang mereka terima mengenai kemungkinan lokasi keberadaan.
“Kami menemui lebih 300 haiwan setakat ini dan menyelamatkan ramai penduduk, sama ada dari bawah runtuhan atau di dalam bangunan,.
“Terdapat perjuangan yang hebat serta kehilangan yang besar di sini. Satu kehilangan besar untuk semua makhluk hidup tetapi kami masih teruskan usaha,” ujarnya. – Agensi