fbpx

Kerajaan alukan pengesahan Fitch Rating ke atas Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengalu-alukan pengesahan Fitch Rating ke atas penarafan kredit berdaulat negara pada ‘BBB++’ dengan tinjauan ‘Stabil’ bagi tahun 2023 yang disifatkan sebagai cerminan keyakinan terhadap pentadbiran ketika ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengesahan tersebut turut menggambarkan kekuatan pemulihan ekonomi Malaysia serta daya tahan negara di tengah-tengah landskap global yang tidak menentu dan sangat mencabar.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan berazam untuk memastikan kedudukan fiskal negara terus kukuh melalui penyatuan defisit fiskal secara beransur-ansur sambil mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi semasa zaman mencabar ini di peringkat global.

“Melalui Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan pada 24 Februari ini, kerajaan akan terus mempergiatkan usaha reformasi untuk memacu pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pelaburan dan menambah baik infrastruktur awam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ujar beliau, penekanan berterusan juga akan diberikan kepada inisiatif untuk mengawal tekanan inflasi dan meringankan beban rakyat daripada kos sara hidup yang tinggi.

“Belanjawan 2023 juga akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kewangan dan tadbir urus negara, bagi menyokong komitmen kerajaan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi ke arah meningkatkan kesejahteraan rakyat selaras dengan tema Belanjawan 2023 iaitu ‘Membangun Malaysia Madani’,” katanya.

Terdahulu, agensi penarafan antarabangsa itu menjelaskan bahawa penarafan Malaysia diimbangi oleh ekonomi yang pelbagai dengan prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh walaupun hutang negara adalah tinggi serta asas hasil yang rendah berbanding perbelanjaan mengurus.

Fitch menjangka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia akan menyederhana kepada 4.0 peratus pada 2023 dan 4.8 peratus pada 2024 berbanding pertumbuhan KDNK yang memberangsangkan sebanyak 8.7 peratus tahun lalu.

Fitch juga menjangka sektor perkhidmatan akan terus dirangsang oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, inflasi yang terkawal dan pemulihan dalam sektor berkaitan pelancongan ekoran pembukaan semula China.

Agensi tersebut turut dilaporkan berkata, trend pertumbuhan jangka sederhana dijangka kekal teguh antara 4.0-5.0 peratus dan berpandangan bahawa sektor pembuatan dan eksport mungkin menghadapi halangan daripada permintaan global yang lemah bagi elektronik dan komoditi.

Fitch turut berpendapat bahawa defisit fiskal akan berkurangan secara beransur kepada purata sekitar 4.5 peratus daripada KDNK pada 2023-2025, mengambil kira pelbagai faktor termasuk rasionalisasi perbelanjaan yang lebih baik dan langkah mobilisasi hasil yang berkesan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI