NEW YORK – Sebuah kitab Injil Ibrani (Taurat) berusia lebih 1,000 tahun akan dilelong di New York dengan harga anggaran mencecah AS$50 juta (RM220 juta), kata firma lelongan Sotheby’s semalam.
Injil dinamakan Codex Sassoon itu berasal dari lewat kurun ke-9 dan awal kurun ke-10 dan merupakan Injil Ibrani paling lengkap pernah ditemui.
Ia bakal menjadi dokumen atau manuskrip bersejarah paling mahal pernah dilelong apabila Sotheby’s melelongnya pada Mei ini.
“Ia tanpa diragu adalah salah satu teks tunggal paling penting dalam sejarah manusia,” kata ketua buku dan manuskrip global Sotheby’s, Richard Austin.
Codex Sassoon merupakan salah satu daripada dua manuskrip mengandungi kesemua 24 buku Injil Ibrani yang masih ada di zaman moden.
Ia lebih lengkap berbanding Aleppo Codex dan manuskrip lebih tua, Leningrad Codex iaitu dua Injil Ibrani awal lain yang terkenal, kata Sotheby’s.
Manuskrip itu sebagai jambatan antara Skrol Laut Mati yang berusia seawal kurun ketiga sebelum masihi dan Injil Ibrani yang diguna pakai pada hari ini. – AFP