fbpx

Inap desa rumah Melayu di pantai Kuala Linggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rumah Pak Anjang ini mampu memuatkan seramai lapan orang pada satu-satu masa.

DISAPA bayu laut dan deruan ombak saat duduk di tangga rumah tradisional Melayu sudah pasti menjadi satu pengalaman menenangkan terutama buat anak-anak bandar.

Pengalaman persis momen dalam filem Pulang itu dapat dirasai pengunjung di Desa Balqis Beach Resort (Desa Balqis) di Kuala Linggi, Melaka yang terletak 150 kilometer dari Kuala Lumpur.

Menempatkan 20 buah rumah kayu tradisional dari pelbagai negeri di atas tanah seluas dua hektar, pengunjung Desa Balqis disajikan dengan suasana perkampungan Melayu sentuhan kontemporari.

Uniknya, kediaman di Desa Balqis ini diberi nama kekeluargaan seperti Pak Long, Pak Ngah, Pak Lang, Pak Ndak, Balqis, Mama, Penghulu, Pak Cik, Nenek, Atuk, Kak Long, Kak Lang, Kak Ngah, Kak Cik dan Pak Anjang.

Lebih menarik, setiap pintu pada rumah tradisional di resort berkenaan berusia lebih dari 60 tahun, sekali gus mengekalkan ciri-ciri kampung yang kian hilang ditelan zaman.

Menurut pemilik Desa Balqis, Anwar Ismail, pihaknya sedang mengusahakan sebuah lagi rumah bernama Pak Tam yang dijangka siap pada bulan ini.

“Rumah-rumah di sini memiliki keunikan tersendiri dari segi reka bentuk, seni ukiran dan saiz.

“Dari segi hiasan dalaman, kami menggabungkan ciri-ciri kelengkapan hotel dengan perabot-perabot antik.

“Setiap bilik disediakan dengan katil bersaiz queen. Selain itu, setiap rumah dilengkapi kemudahan pendingin hawa, televisyen serta pemanas air.

“Justeru, pengunjung boleh merasakan kombinasi pengalaman desa dengan kemudahan moden sepanjang menginap di sini,” katanya.

Desa Balqis terletak di tepi pantai Kuala Linggi, Melaka.

Menyentuh soal aktiviti disediakan, Anwar menjelaskan, pengunjung boleh memilih untuk berkelah di tepi pantai dan mandi laut.

Katanya, pengunjung juga boleh berenang di kolam renang disediakan oleh pihaknya.

Suasana pantai dengan angin sepoi-sepoi bahasa turut mendorong sesetengah pengunjung untuk melakukan aktiviti joging dan berbasikal sambil meninjau kawasan sekitar.

Pada waktu malam, rumah-rumah tradisional itu dihiasi lampu landskap yang berwarna-warni pada bahagian bumbung.

Ia bagi mewujudkan kemeriahan suasana perkampungan Melayu zaman lampau.

“Selain aktiviti pilihan sendiri, kami turut menyediakan permainan tradisional buat pengunjung seperti tarik tali, terompah gergasi dan lari dalam guni.

“Selalunya pada waktu malam, pengunjung melakukan aktiviti barbeku. Kami turut menyediakan perkhidmatan karaoke buat pengunjung,” ujarnya.

Tambah Anwar, harga rumah penginapan mengikut jenis rumah serta jaraknya dengan laut iaitu dalam lingkungan RM220 hingga RM1,000 semalam.

Desa Balqis bukan sahaja untuk percutian keluarga, malah sesuai dijadikan lokasi perkahwinan terutama kepada pasangan yang mengimpikan tema tradisional pada hari bahagia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI