ALOR GAJAH – Seorang ibu tunggal sanggup melakukan pelbagai pekerjaan kampung termasuk mengambil upah memotong rumput demi menyara kehidupan bersama tiga orang anak di Durian Tunggal di sini.
Bagaimanapun, Noor Lizah Rosli, 33, berkata, sejak kebelakangan ini pendapatan diperoleh tidak lagi dapat menampung keperluan asas anak-anaknya termasuk duit belanja sekolah.
Keadaan itu menyebabkan anak sulungnya, Aleesya Mohd. Azwan, 15, yang bersekolah di sekolah sukan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota, Bukit Serindit berhasrat untuk berhenti kerana tidak mahu membebani ibunya.
“Sekarang ini susah nak dapat upah kerja-kerja kampung termasuklah potong rumput. Dalam seminggu, ada lah dua kali saya dapat kerja dengan upah kurang daripada RM70.
“Baru-baru ini, anak sulung di asrama menelefon beritahu dia ingin berhenti kerana kasihan kepada saya dan itu membuat saya sedar keadaan (kewangan) keluarga kami ketika ini memang sangat teruk,” katanya rumahnya di Durian Tunggal di sini baru-baru ini.
Katanya, dia tetap bersyukur kerana keluarganya masih mempunyai tempat untuk berteduh atas ihsan ibunya, Romlah Kasim, 63, yang berkorban membina sebuah rumah kecil menggunakan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Noor Lizah memberitahu, dia pernah berhasrat untuk mencari pekerjaan di bandar, namun terpaksa melupakannya demi menjaga anak keduanya Nurul Umairah Abdullah, 14, yang menetap bersama.
“Saya fikir, siapa pula yang akan menghantar dan mengambilnya ke sekolah jika saya keluar ke bandar, anak ketiga berusia sembilan tahun pula dijaga oleh keluarga bekas mentua, jadi saya akan mengambilnya pada hujung minggu sahaja.
“Saya tak kisah makan minum saya, cuma kasihan kepada anak-anak terutama yang berada di asrama, kadangkala dia akan telefon menyuruh membelikannya maggi, namun itu pun saya tidak mampu,” katanya.
Ujarnya, baru-baru ini pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah datang menziarahi keluarganya dan menyalurkan bantuan yang layak diterima.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB 7621812429 atas penama Noor Lizah Rosli.