PETALING JAYA – Bukan mudah untuk membina nama di Hollywood dan perkara tersebut diakui pelakon juga pengacara jelita, Amelia Henderson yang pernah mencuba nasib di sana selama dua tahun.
Kata Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson, berwajah Pan-Asia dan mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih bukan tiket mudah diterima di negara Uncle Sam itu.
“Saya pernah ‘pack my bag and leave’ (cuba nasib di luar negara). Saya pernah tinggal di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) selama dua tahun.
“Bukan nak cakap pengalaman tinggal di sana tidak menyeronokkan. Seronok tetapi, saya lahir di Malaysia dan asal dari negara ini.
“Bila sampai sana saya baru sedar betapa ‘Malaysianya’ saya. Masa sampai sana, saya sedar saya ini bukanlah mat salih sangat (pun), saya orang Malaysia dan Asia. Jadi, saya buat pusingan U (u-turn) dan pulang ke Malaysia,” katanya kepada Kosmo! Online.
Amelia, 28, yang ditemui usai tayangan perdana filem Didie & Friends The Movie malam semalam menjelaskan lagi, di sana (AS), bakatnya sukar ‘dijual’ kerana dia tidak mempunyai keistimewaan atau kelainan dari segi rupa dan tutur kata berbanding orang lokal.
“Bila saya jual bakat sebagai seorang pelakon, saya kena tengok apa persaingan yang sudah sedia ada di pasaran.
“Untuk seseorang yang macam saya bila pergi AS, dahlah muka saya serupa macam orang sana. Saya cakap pun sama macam mereka.
“Jadi, apa perbezaan saya dengan orang lokal di sana? Tambah lagi, saya tiada dokumentasi untuk menyenangkan kerja di sana. Saya tiada pasport AS, pasport saya Malaysia,” ujarnya.
Tambah pelakon drama rantaian, Kisah Cinta Kita itu lagi, tidak salah untuk memasang angan-angan yang tinggi namun seperti kata peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.
“Saya faham bahawa dalam kehidupan setiap orang, kita patut kejar impian dan realisasikannya.
“Tapi untuk saya, selepas duduk di sana dua tahun dan kemudian balik Malaysia, rasanya sangat bersyukur sebab peluang dan rezeki yang saya dapat di negara ini, saya rasa cukup dihargai.
“Bukan nak cakap kalau tiada rezeki saya tak nak cuba nasib tapi saya takkan pergi dan tinggalkan negara saya dengan sepenuhnya. Sebab, di sinilah lahir minat saya terhadap bidang lakonan.
“Kalau pergi sana pun, saya akan sentiasa cari di mana nasi lemak. Kita fokus sahaja apa yang kita boleh dan mampu buat, senang cerita,” ujarnya.
Terdahulu, aktor hebat, Bront Palarae menasihatkan mana-mana pelakon yang mempunyai bakat dan ingin membina nama di peringkat antarabangsa seperti Tan Sri Michelle Yeoh yang tercalon Academy Awards agar berpindah ke negara lain.
“Pencalonan Michelle boleh memberi inspirasi kepada kita khususnya anak muda untuk ‘pack your bag and leave’ kerana ada sahaja peluang di tempat lain,” ujarnya dalam satu wawancara bersama media sebelum ini. – KOSMO! ONLINE