fbpx

Hari ini kompaun, esok buang sampah lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara longgokan sampah yang dibuang secara haram di sekitar Teluk Intan baru-baru ini.

IPOH – Kurangnya kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat selain terlalu mementingkan diri menjadi punca berlakunya pembuangan sampah haram sehingga menganggu kehidupan penduduk di beberapa buah daerah di negeri ini.

Menurut perkongsian di laman web Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), masalah itu timbul biarpun tapak pembuangan sampah telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi penduduk sekitar.

Menurut kenyataan MPTI menerusi Facebook, pihaknya telah melaksanakan kutipan sampah di kawasan-kawasan terlibat susulan daripada isu yang timbul sekali pun ada beberapa lokasi berada di luar kawasan operasi.

Difahamkan, antara kawasan yang terlibat dengan isu pembuangan sampah haram ialah di Kampung Pasir Bedamar, Kampung Muhibbah, Taman Teluk Intan dan Taman Desa Bakti.

Dalam pada itu, MPM menjelaskan, tindakan kompaun telah dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab, namun mereka tetap degil dan membuang sampah secara haram.

“Hari ini (semalam), MPM dapat tangkap dan kompaun kutu sampah, namun tak ada kesan. Esok buang lagi. Kesedaran sivik dan tanggungjawab yang tak ada dalam diri manusia pun salah PBT ke?” soalnya dalam hantaran tersebut.

Rata-rata orang ramai berpandangan, sikap pengotor dengan membuang sampah merata-rata bukan sahaja menyusahkan orang lain, malah menunjukkan perilaku sebenar pihak tidak bertanggungjawab tersebut.

Menurut Muhamad Zulhusni Sulaiman, 27, orang ramai perlu berusaha mencari tempat pembuangan sampah biarpun tapak itu terletak agak jauh dari kediaman mereka.

“Saya faham mungkin orang ramai tidak sanggup untuk memandu jauh dari kediaman untuk membuang sampah, namun perbuatan sedemikian (membuang sampah merata-rata) tetap salah.

“Jika mereka tidak mahu rumah berbau busuk akibat daripada sampah oleh orang lain, mereka sewajarnya membuang sisa domestik dihasilkan ke tempat sepatutnya,” katanya.

Bagi Mohd. Hamdan Mutalib, 44, pula, tindakan lebih tegas berbanding kompaun perlu dikenakan terhadap pihak tidak bertanggungjawab kerana ia dilihat seakan-akan gagal mengekang perbuatan tersebut.

“Jika PBT sendiri akui kompaun pun tak mampu nak halang perbuatan tak bertanggungjawab itu, lebih baik penjarakan sahaja mereka.

“Mungkin dengan cara itu mereka akan mula berfikir terlebih dahulu sebelum sewenang-wenangnya membuang sampah di merata-rata tempat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI