CAMERON HIGHLANDS – Setiap kali ke Cameron Highlands pastinya pengunjung tidak akan melepaskan peluang untuk membeli pelbagai sayur-sayuran selain buah strawberi.
Namun tidak ramai menyedari sayur-sayuran berkenaan sebahagiannya diimport dari kawasan sekitar serta luar negara dan bukannya tanaman asli daripada tanah tinggi itu.
Seorang pengunjung, Mohd. Akmal Sidek, 37, berkata, dia dan keluarganya dari Baling, Kedah teruja membeli sayur-sayuran di lokasi pelancongan popular tersebut, namun hampa apabila mengetahui penipuan itu.
“Antara sayuran kami beli kubis bulat, bayam dan sawi tetapi kemudian dimaklumkan bahawa ia diimport dari tempat lain.
“Sebelum ini memang tak tahu tetapi sekarang saya akan lebih berhati-hati. Menyesal tetapi apa boleh buat, barang sudah beli. Lain kali kami akan lebih berhati-hati sebelum melakukan pembelian,” katanya.
Mohd. Akmal berkata, tidak salah untuk peniaga menjual sayur import tetapi seharusnya penjual berkenaan maklumkan kepada pelanggan.
Munirah Mohd. Razali, 41, dari Sungai Besar, Selangor, berkata, dia mendapat tahu mengenai sayur-sayuran import itu dari media sosial dan terkejut apabila peniaga di Cameron Highlands mengesahkan perkara itu.
“Sebagai contoh, jagung. Ramai yang membelinya tetapi hakikatnya ia bukan produk tempatan,” jelasnya.
Mohd. Isa Mohd. Yusri, 55, berkata, ada dalam kalangan rakan-rakannya cukup teruja membeli sayur-sayuran dari Cameron Highlands kerana dikatakan kualitinya begitu baik.
“Selepas mendapat tahu ia diimport, ada daripada mereka yang kecewa dan membatalkan niat untuk membeli sayur. Cukuplah sekadar ke sini untuk bercuti bersama keluarga.
“Jika benar sayur ini diimport, baik beli dari tempat tinggal masing-masing sahaja. Tiada guna beli sayur di sini jika di luar pun ia dijual juga,” ujarnya.