fbpx

Bukan hanya wanita kena stalker, lelaki pun dihendap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rasa obses terhadap mangsa adalah antara punca utama kepada perbuatan mengendap. - GAMBAR HIASAN
ZURAINI MOHD KHALID
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini, seorang wanita yang juga seorang pempengaruh media sosial membuat satu un­taian di Twitter berkenaan diri­nya yang diganggu seorang stal­ker sejak beberapa tahun lalu.

Menurut wanita itu, ketika dia sedang menyambung pengajiannya di Britain, keselamatannya terancam apabila si ‘stalker’ itu sanggup terbang dari Malaysia ke Britain dan bekerja di sana selama sebulan, semata-mata mahu terus mengendapnya.

Belum pun reda dengan kisah itu, seorang lelaki kemudiannya turut membuat pengakuan sama, apabila mendedahkan dirinya juga menjadi mangsa stal­king kepada seorang wanita yang cukup obses dengannya.

Wanita itu pada mulanya ha­nya mengganggu mangsa di media sosial, kemudiannya berjaya mendapatkan nombor telefon dan pejabat mangsa, menyebabkannya mengalami trauma.

“Saya rasa terganggu, sampai ke tempat kerja pun dia berani.

“Dalam satu majlis rumah terbuka pejabat, dia (pelaku) ikut saya ke mana-mana sebab nak bercakap dan sanggup me­nunggu saya selama enam jam, sehingga saya terpaksa bersembunyi di dalam tandas,” demikian ciapan lelaki itu.

Stalking didefinisikan sebagai perbuatan mengendap atau memerhatikan seseorang atau satu kumpulan secara berulang, yang boleh menyebabkan pihak yang dihendap itu terancam.

Stalking melibatkan perbuatan seperti menghantar mesej atau hadiah yang tidak dikehendaki secara berulang, menunggu seseorang di sesuatu kawasan dengan tujuan mendekatinya atau mengekori seseorang dari jauh.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), lebih satu pertiga rakyat Malaysia yang mana 39 peratus daripadanya merupakan wanita, pernah menjadi mangsa stalking.

Profesor Psikologi Klinikal dari Universiti York, Toronto, Robert T. Muller dalam artikelnya bertajuk Mind of a Stalker menyatakan terdapat beberapa faktor yang menjadi pendorong kepada seseorang itu untuk menjadi stalker.

“Stalker mungkin memulakan gangguan mereka dengan menghantar mesej atau menghubungi sasarannya menerusi media sosial dan ia tidak berakhir di situ.

“Si stalker kemudian akan mengendap atau berdepan de­ngan mangsa,” ujarnya.

Rasa obses terhadap mangsa adalah antara punca utama kepada perbuatan mengendap, dan lazimnya obsesi tersebut menyebabkan pelaku tidak tenang, tidak boleh tidur atau hilang selera makan kerana asyik memikirkan tentang sasaran.

Stalker juga sering berfantasi dan tidak boleh membezakan antara fakta dan juga fiksyen.

Ada antara mereka begitu yakin dan mula mereka-reka cerita dan perincian berkenaan hubungan romantik yang tidak wujud, dan apabila mereka menjadi terlalu yakin dengan kisah ritu, mereka akan cuba untuk meyakinkan orang lain untuk turut mempercayai versi tersebut.

“Jenis ini dipanggil Erotomania yang mana pelaku percaya bahawa sasarannya juga menaruh hati terhadapnya.

“Kebanyakan stalker yang mahukan satu hubungan dengan sasaran akan mencipta delusi bahawa cinta mereka itu berbalas,” jelas Muller.

Biarpun tidak boleh dicegah sepenuhnya kerana kita tidak boleh mengawal tindakan orang lain, namun mangsa boleh mela­kukan beberapa tindakan untuk menghentikan perbuatan itu dengan sentiasa berwaspada dan mendapatkan pertolongan jika berasa diri terancam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI