TIADA masakan moden yang mampu menandingi keenakan rasa asli sesuatu juadah yang boleh diibaratkan sebagai masakan ibu.
Bagi warga Pantai Timur yang tinggal di Kajang, Selangor, warung Mokma menjadi pilihan hati tatkala rindu dengan masakan asli di kampung.
Manakan tidak, kesemua juadah di warung Mokma dimasak menggunakan adunan daripada bahan buatan sendiri yang diwarisi secara turun-temurun.
Pengurus Mokma merangkap tukang masak, Zuhaila Abdul Wahab, 38, berkata, nasi kerabu merupakan menu paling laris di kedainya dan sering mendapat permintaan tinggi.
“Juadah yang paling terkenal dekat sini adalah nasi kerabu. Dalam sehari, saya akan masak nasi kerabu berkali-kali untuk menggantikan semula nasi yang sudah terjual.
“Permintaan terhadap menu ini sentiasa ada, tidak kira sebagai sarapan atau makan tengah hari. Jadi, nasi kerabu boleh dibeli sehingga kedai tutup,” katanya.
Tambah Zuhaila, kebanyakan menu di warung Mokma dimasak menggunakan resipi turun-temurun keluarganya dan dibuat dengan bahan-bahan buatan sendiri.
Ujarnya, cara itu dapat memberikan pelanggan rasa sebenar masakan Pantai Timur dan mengekalkan air tangan arwah ibunya yang suatu ketika dahulu pernah membuka perniagaan di Kelantan.
Selain nasi kerabu, pelbagai pilihan menu dihidangkan di warung Mokma seperti nasi dagang, nasi Kak Wok, nasi lemak, nasi air, nasi ayam, nasi berlauk dan banyak lagi.
“Bahan-bahan seperti serunding kelapa dan tumis nasi kerabu dibuat sendiri berdasarkan resipi asal arwah ibu saya.
“Ibu saya dahulu berniaga pasar malam, pasar tani sambil masuk tender kantin sekolah juga.
“Dengan menggunakan resipi ibu, ia dapat menjamin keaslian masakan di sini.
“Ini juga secara tidak langsung memberi keunikan pada juadah di Mokma,” ujarnya.
Berkongsi berkenaan ‘sejarah’ Mokma, Zuhaila berkata, pembukaan warung itu merupakan cetusan ideanya dan suami, Mohd. Fauzi Yeop Ahyaudin.
Bermula dengan warung kecil yang boleh menampung seramai 20 orang pada satu-satu masa.
Kini, warung Mokma telah diubah suai bagi menampung lebih kurang 80 orang pada satu-satu masa.
“Suami saya memiliki latar belakang akademik dalam bidang kejuruteraan, tetapi dia minat untuk menceburi perniagaan.
“Saya pula minat memasak, jadi bermula dari situ tercetuslah inspirasi untuk membuka kedai makan bertemakan masakan Pantai Timur.
“Suami saya akui ramai di luar sana yang meminati masakan Pantai Timur. Namun, tidak banyak restoran yang menghidangkan makanan ini di Kajang.
“Dengan kewujudan warung Mokma, ia sedikit sebanyak dapat membuka peluang kepada penggemar masakan Pantai Timur menikmati hidangan yang disediakan oleh kami,” katanya yang membuka warung tersebut pada 18 Mac 2019.
Dedahnya, nama Mokma diinspirasikan daripada perkataan nenek iaitu tok ma dalam dialek Kelantan.
Katanya, disebabkan anaknya tidak dapat menyebut dengan betul perkataan tok ma, maka jadilah Mokma.