TIADA apa lagi yang didambakan penyanyi tersohor, Ziana Zain kala perjalanan kerjaya seninya bakal mencecah sambutan ke-35 tahun tidak lagi, melainkan sebuah konsert solo.
Jauh di sudut hati. pemilik nama penuh Siti Roziana Zain itu berharap menjelang tempoh dua tahun dari sekarang, ada penaja sudi berkolaborasi dan sama-sama mencipta sejarah manis berkenaan dengan dirinya.
Enggan mengharap bulan jatuh ke riba, Ziana yakin berkat kerja keras disokong kelancaran landskap industri hiburan tanah air selepas melalui fasa pandemik mampu menjadikan impiannya sebagai realiti.
“Suku pertama 2023 semakin menyemarakkan impian saya untuk memperincikan pelan merencana sebuah konsert solo yang boleh dikenang dan diceritakan kepada anak cucu.
“Nyata perancangan Allah itu lebih indah. Selepas konsert bersama Anuar, sudah pasti besar harapan saya ada penaja sudi menaja konsert solo pula.
“Konsert dengan Anuar menjadi kenangan terindah untuk saya pada usia 55 tahun kerana itu juga langkah ke arah konsert solo yang diidamkan sekian lama,” kongsi penghibur kesayangan ramai itu.
Ziana yang tampak terus laris menghiasi drama mengakui bersyukur rezeki masih berpihak kepadanya, selain kepercayaan penerbit terhadap kemampuan bakat lakonannya.
Enggan tamak atau merebut sahaja tawaran yang datang, bintang filem Sembilu itu terlebih dahulu memastikan setiap amanah digalas satu per satu.
“Sejak tahun lalu saya semakin aktif berlakon tetapi setiap satu tawaran saya pastikan tak bertembung atau mempunyai jarak masa supaya saya dapat bahagikan waktu untuk anak-anak dan nyanyian.
“Pada usia ini, selain berpeluang melihat anak-anak membesar depan mata, rasanya tiada apa lagi yang mahu saya kejar selain hanya mampu bersyukur.
“Alhamdulillah, mereka pun sudah besar panjang dan ada yang telah masuk universiti, jadi memang pada fasa ini yang saya rasai hanya ketenangan.
“Apabila diajukan undangan pentas mahu pun tawaran berlakon, saya cuba penuhi jika tiada kekangan atau pertindihan jadual,” katanya.
Ziana percaya. selain bakat, minat dan kesungguhan, kunci momentum kerjayanya adalah disiplin tinggi dalam pekerjaan dan kehidupan sehari-hari.
“Kalau kita tak jaga masa dan berdisiplin tentu saja keadaan itu boleh menjejaskan seluruh pasukan.
“Saya tak suka menyusahkan orang lain hanya disebabkan isu sebegini. Jika kita berdisiplin rezeki tidak akan lari jauh,” tambah ibu kepada empat cahaya mata itu.