fbpx

Servis restoran lambat, makanan tak sedap, Danial Zaini respons

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UJAR Danial, dia sentiasa terbuka menerima teguran atas kekurangan disediakan restoran miliknya dan berjanji akan menambah baik servis dan kualiti selepas ini.

PETALING JAYA – Pelawak Danial Zaini tampil memberi penjelasan berhubung isu ketidakpuasan hati seorang pengguna Twitter yang mendakwa restoran miliknya, Paku & Pontianak menyediakan servis dan kualiti makanan tidak memuaskan.

Danial menerusi rajutan dalam Twitter miliknya membalas dakwaan pengguna itu terhadap layanan diberikan staf restoran yang mengambil masa beberapa jam untuk menyediakan makanan.

Pengguna itu juga mendakwa beberapa menu di restoran tersebut sangat mengecewakan antaranya fish and chip yang menggunakan ikan keli selain mengkritik perkhidmatan ruang parkir dan layanan double standard kepada pelanggan VIP lain iaitu artis.

“Restoran kami menyediakan menu Barat yang digabungkan. Antaranya fish and chip menggunakan ikan keli, menu inovatif yang kami perkenalkan. Penggunaan jenis ikan tersebut sudah pun tertulis dalam deskripsi menu.

“Kami juga memang menyediakan parkir khas untuk tetamu tetapi pada malam tersebut, ruang telah penuh. Dua parkir yang ada ditempah awal sebelum hari majlis berlangsung,” katanya.

RAJUTAN panjang seorang pengguna Twitter berhubung isu servis lambat, makanan tidak sedap dan layanan double standard diterimanya ketika berkunjung ke restoran Paku & Pontianak baru-baru ini.

Danial memaklumkan sudah berbincang dengan pengadu dan enggan memanjangkan isu tersebut, namun dia meluahkan rasa kecewa kerana ada beberapa kenyataan palsu dan berunsur fitnah dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab berkenaan restorannya.

Bahkan dakwanya, terdapat bukti rakaman pelanggan lain menyaksikan berlakunya insiden staf restoran dimaki dengan perkataan lucah.

“Kami akur dengan kesilapan dalam memberi layanan yang terbaik kepada pelanggan dan sentiasa terbuka menerima teguran demi memperbaiki kualiti.

“Tetapi teguran boleh dilakukan dengan cara yang betul. Saya ada pada malam itu dan pengadu boleh bersemuka tetapi dia memilih untuk menularkan dalam media sosial serta mengeluarkan kenyataan menghasut.

“Pihak saya akan semak satu persatu ciapan dan kenyataan palsu berbaur fitnah untuk kami ambil tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.

Pada hujung ciapan, Danial turut memuat naik video penjelasan daripada isteri Fad Bocey, Syeera iaitu artis dimaksudkan pengguna itu yang turut mengadakan majlis pada hari tersebut atas dakwaan double standard kerana dituduh ‘makan free’.

Kata Syeera, tiada istilah makan percuma kerana dia juga membayar harga makanan di situ seperti orang lain dengan mengambil menu yang disediakan secara bufet.

Beberapa hari lalu, nama restoran milik Danial terletak di Jalan Gurney, Kuala Lumpur yang baru dibuka secara rasmi beberapa minggu lalu menjadi perhatian berikutan pendedahan seorang pengguna yang kecewa dengan servis dan kualiti menu di situ. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI