KUALA LUMPUR – “Saya tak pernah ‘declare’ keluar Sepahtu.”
Demikian pengesahan pelawak dan penyampai radio, Shuib bagi merungkai persoalan ramai mengenai statusnya bersama kumpulan tersebut.
Katanya, setakat ini dia tidak pernah mengumumkan mahu mengundurkan diri dari kumpulan tersebut yang turut dibarisi Jep, Rahim dan Ilya (Pak Ya).
“Seingat saya, tidak ada sekali pun saya cakap sudah keluar kumpulan itu, tambahan pula Sepahtu yang membuka pintu rezeki buat saya dalam industri ini
“Kalau orang masih ingin panggil saya sebagai Shuib saja atau Shuib Sepahtu pun saya tidak kisah kerana telah terlalu lama bersama kumpulan itu.
“Memang nama itu terus melekat dan bawa tuah kepada saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Secara tidak langsung pengesahan tersebut meleraikan tanda tanya peminat tentang statusnya apatah lagi sekitar tahun lalu Shuib tidak menyertai Sepahtu Reunion Live bersama rakan lain.
Merujuk perkara terbabit, ahli perniagaan berusia 38 tahun itu menafikan keadaan itu berlaku disebabkan rajuk, tetapi waktu tersebut kurang sesuai dia menyertai aktiviti bersama Sepahtu.
“Saya tak merajuk malah masih berhubung dengan kawan-kawan lain. Mereka pun ada bertanya, tetapi saya memang tak dapat buat.
“Ada rezeki saya akan sampai ke sana (Sepahtu Reunion). Saya terbabit hampir lima tahun dengan lebih 100 episod. Tak mungkin saya boleh lupakan,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media program komedi UBI Superstar Live, semalam.
Selain Shuib, Ajak Shiro turut diumumkan sebagai selebriti undangan yang bakal bergandingan dengan Fad Bocey, Sharif Zero dan Namie (kumpulan Ubi) untuk program berkenaan.
Mengenai pelawaan menyertai Ubi Superstar Live yang bermula 23 Februari ini menerusi Astro Warna, kata Shuib, keinginan mencuba ‘angin’ baharu antara faktor dia terbuka menerima undangan tersebut.
Dia juga secara terbuka menyatakan pembabitan sebagai penyampai radio menjadi faktor penggalak untuk dia menyertai kumpulan Ubi sebagai undangan.
“Sekian lama tidak muncul di pentas lawak, saya kembali lagi tetapi kali ini dengan kumpulan Ubi dan Ajak.
“Mungkin sebab sudah terlalu lama dengan Sepahtu. Ini pun keputusan tidak terjangka,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE