fbpx

Program SKSSR, Karnival Kerjaya MYFutureJobs 2023 capai matlamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (tengah) selepas merasmikan Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs Perkeso 2023, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

PETALING JAYA – Majlis Pelancaran Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) dan Karnival Kerjaya MYFutureJobs Perkeso 2023 baru-baru ini menjadi pemangkin kepada usaha Perkeso untuk melindungi golongan suri rumah dan membantu rakyat tempatan mendapat pekerjaan.

Program serampang dua mata yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 11 dan 12 Februari lalu mendapat sambutan baik orang ramai.

Hampir 300 pengunjung wanita telah mendaftar dengan SKSSR dan daripada jumlah itu, seramai 162 orang telah mencarum menjadikan jumlah keseluruhan yang mendaftar sejak 1 Disember 2022 sehingga 14 Februari 2023 seramai 141,777 orang.

Sebanyak 14.8 peratus daripada jumlah tersebut adalah suri rumah yang didaftarkan oleh suami masing-masing.

Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, ia selari dengan seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan para suami mencarum SKSSR untuk isteri.

“Karnival berskala besar ini menarik lebih 5,200 orang pencari kerja menghadiri temu duga terbuka untuk pelbagai jenis jawatan kosong.

“Sejumlah 21,510 peluang pekerjaan telah ditawarkan oleh 148 majikan buat pencari kerja seluruh negara.

Menurutnya, penganjuran karnival itu turut mendapat sokongan daripada syarikat seperti Malayan Banking Bhd. (Maybank), Bank Simpanan Nasional (BSN), Jakel Group dan ExxonMobil Malaysia.

“Seramai 256 individu termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) ditawarkan pekerjaan sewaktu karnival berlangsung, sementara 3,751 (76 peratus) individu pula berjaya ke temu duga peringkat kedua.

Beliau berkata, calon-calon yang menghadiri temu duga terbuka di karnival itu turut menerima bimbingan dan sokongan daripada pegawai perkhidmatan oekerjaan Perkeso seperti penyediaan resume, nasihat kerjaya dan sebagainya.

“Majikan yang mencatatkan pengambilan pekerja tertinggi di karnival ini termasuk Kiddocare Sdn Bhd, Daythree Business Services Sdn Bhd dan Pizza Hut Restaurants Sdn Bhd.

“Perkeso akan anjur lebih 40 Karnival Kerjaya peringkat negeri dan hampir 3,000 program temuduga terbuka di pejabat-pejabat Perkeso, pusat-pusat satelit MYFutureJobs dan premis kolej serta universiti seluruh negara sepanjang 2023 ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa majikan yang memerlukan pekerja atau bakat tempatan untuk mengiklankan jawatan kosong di www.myfuturejobs.gov.my serta mendapat perkhidmatan pekerjaan (recruitment services) di bawah MYFutureJobs.

“Dalam masa terdekat akan diadakan Karnival Kerjaya MYFutureJobs & Skim Keselamatan Suri Rumah di Batu Gajah, Perak pada 25 dan 26 Februari ini. Boleh daftar melalui pautan www.myfuturejobs.gov.my/careerfair.

“Bagi Sabah, Program Jerayawara Kerjaya dan Skim Keselamatan Suri Rumah akan diadakan sepanjang bulan ini iaitu di Keningau (18 dan 19 Februari), Tawau (20 Februari), Semporna (21 Februari), Sandakan (25 Febuari di ILP Sepangjar), Kota Kinabalu.

“Bagi yang berminat boleh berdafar di pautan https://bit.ly/PraJerayawaraSuri, manakala bagi majikan yang berminat untuk turut serta boleh hubungi pegawai perkhidmatan pekerjaan Perkeso di talian 03-80915300,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Perkeso www.perkeso.gov.my atau hubungi talian khidmat pelanggan Perkeso di talian 1-300-22-8000. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI