PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menegaskan setiap pesakit wajar diberi keutamaan rawatan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun kod etika pakaian.
Beliau mengulas laporan berita mengenai seorang wanita berseluar pendek didakwa dihalang masuk ke Hospital Kampar, Perak malam Ahad lalu.
“Hippocratic Oath yang diikrar oleh para doktor dan pengamal perubatan termasuk kesediaan membantu pesakit sebaik mungkin,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Baru-baru ini, seorang wanita berusia 21 tahun mendakwa dihalang mendapatkan perkhidmatan di Hospital Kampar, Perak kerana berseluar pendek.
Media melaporkan, wanita itu dihalang masuk oleh kakitangan hospital berkenaan ketika dibawa ke jabatan kecemasan susulan sakit perut teruk. – KOSMO! ONLINE