PADANG BESAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperluaskan perkhidmatan stesen minyak tanpa subsidi di semua negeri sempadan dalam usaha mengekang ketirisan bahan bakar bersubsidi itu.
Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tindakan itu dilakukan selepas maklumat risikan mengatakan bahawa aktiviti penyeludupan kini beralih ke Kedah dan Kelantan.
Katanya, ia berlaku selepas larangan penjualan bahan bakar bersubsidi tersebut dikuatkuasakan di seluruh Perlis awal Februari lalu.
“Kita melihat kesan positif di Perlis selepas larangan penjualan bahan bakar bersubsidi kepada kenderaan asing dikuatkuasakan mulai 1 Februari lalu.
“Kesan lebih menyeluruh dapat dilihat dalam tempoh tiga bulan bermula Februari hingga April ini untuk menilai keberkesanan program sebelum ia dipanjangkan ke negeri-negeri sempadan lain seperti Kedah, Kelantan, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, KPDN merekodkan 43 tangkapan kes melibatkan penyeludupan petrol RON95 dan diesel bersubsidi di Perlis sepanjang tahun lalu dengan nilai rampasan sebanyak RM100,611. – KOSMO! ONLINE