PUTRAJAYA – Kerajaan berpendirian pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bakal meletakkan pencarum dalam masalah besar pada usia 50, 55 dan 60 tahun.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ia seperti mengambil ‘panadol’ dimana masalah mungkin selesai pada usia 30 hingga 40 tahun, tetapi sebenarnya ia seperti menggali ‘lubang’ pada usia 50, 55 dan 60 tahun.
Beliau berkata, kerajaan boleh menjadi popular dengan membenarkan pengeluaran KWSP, namun kesan sampingannya akan menjadi kesan penjang kepada pencarum dan ekonomi negara.
“Setakat ini, itu pandangan saya, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang juga Menteri Kewangan. Kecuali kita ada data baharu dan keadaan yang baharu. Itu pendirian kita sekarang.
“Tanggungjawab kerajaan adalah memastikan bahawa rakyat ada jaringan keselamatan sosial yang baik. Malah, kita sedia maklum, pada masa akan datang kos kesihatan dan kos sara hidup akan meningkat,” katanya pada sidang media hari ini.
Katanya, beliau berpandangan adalah lebih baik kerajaan membangunkan dasar-dasar berbentuk makro iaitu membantu daripada segi kenaikan gaji pekerja dan menangani kos sara hidup.
“Saya yakin jika ekonomi diurus dengan baik dan sumber kewangan negara dialihkan secara bersasar kepada kumpulan memerlukan, ia boleh mengurangkan beban rakyat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE