JITRA – Penduduk Kampung Pida 1 Tok Tambak di Tunjang dekat sini gempar apabila menemui mayat seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya dalam keadaan terapung dalam tali air hari ini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat itu kira-kira pukul 8.35 pagi tadi.
Katanya, mangsa dipercayai etnik Rohingya berdasarkan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang ditemui di kawasan berhampiran.
“Semakan dilakukan mendapati terdapat laporan polis dibuat mengenai kegagalan mangsa hadir ke tempat kerja oleh penyelianya semalam.
“Berdasarkan pemerhatian, mangsa dipercayai telah meninggal dunia lebih 24 jam berikutan keadaan mayat yang kembung serta dihurung lalat dan anak ikan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pihaknya turut menemui sebatang ‘test pen’ dan rantai besi sepanjang 29 inci di kawasan berdekatan.
“Pemeriksaan pada badan mangsa bersama pegawai forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah menemui kesan luka pada belakang serta kepala sepanjang kira-kira dua sentimeter,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk proses bedah siasat. – KOSMO! ONLINE