ANKARA – Pasukan-pasukan penyelamat mula menghentikan operasi mencari mangsa masih hidup dengan tumpuan beralih kepada usaha menangani bencana kemanusiaan selepas gempa bumi di Turkiye dan Syria mengorbankan lebih 35,000 orang kelmarin.
Syria yang porak-peranda akibat perang saudara selama 12 tahun menjadi kebimbangan utama. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan mesyuarat tergempar kelmarin untuk mencari kaedah meningkatkan bantuan ke rantau yang dikuasai pemberontak di Syria.
Presiden Syria yang dipinggirkan dan menjadi sasaran sekatan Barat, meminta bantuan antarabangsa untuk membantu membina semula infrastruktur di negaranya. PBB menganggarkan lebih lima juta orang tiada tempat tinggal di Syria.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, Bashar bersetuju membuka dua lagi lintasan sempadan iaitu Bab-AlSalam dan AlRaee dari Turkiye menuju ke barat laut Syria bagi memudahkan penghantaran bantuan.
Sebelum gempa berlaku, hampir semua bantuan kemanusiaan penting untuk lebih empat juta orang yang tinggal di kawasan dikuasai pemberontak di barat laut Syria telah dihantar dari Turkiye menerusi pintu masuk tunggal, lintasan Bab al-Hawa.
“Membuka lintasan sempadan baharu dan langkah membantu akses kemanusiaan, mempercepatkan kelulusan visa dan memudah perjalanan antara hab. Semua ini akan membolehkan bantuan masuk dengan lebih cepat,” kata Guterres.
Tujuh hari selepas gempa bermagnitud 7.8 itu meruntuhkan banguna di rantau terjejas di Turkiye dan Syria, kisah mangsa gempa ditemui masih hidup di bawah runtuhan terus tersebar tetapi pakar-pakar memberi amaran, harapan menemui mangsa terselamat makin tipis
Di Turkiye, dua beradik iaitu Harun, 8, dan Eyuphan, 15, diselamatkan lebih tujuh hari selepas gempa bumi kelima paling dahsyat dalam abad ke-21 itu berlaku, lapor agensi berita Anadolu.
Angka korban yang disahkan berjumlah 35,331 orang dengan pegawai serta petugas perubatan berkata, seramai 31,643 orang terbunuh di Turkiye dan sekurang-kurangnya 3,688 mangsa terkorban di Syria.
Mangsa terselamat pula berdepan krisis air dan masalah sanitasi. Di wilayah Adiyaman, selatan Tukiye, penyakit kudis buta menjangkiti orang dewasa, manakala wabak cirit-birit menyerang kanak-kanaknya.
Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay berkata, seramai 574 kanak-kanak yang dikeluarkan dari bawah runtuhan disahkan yatim piatu dan hanya 76 orang telah kembali kepada keluarga terdekat masing-masing.
Di Antakya, pasukan pembersihan mengalihkan timbunan runtuhan dan meletakkan tandas medan, manakala rangkaian telefon mula beroperasi di beberapa bahagian di bandar itu, kata seorang pemberita AFP.
Bandar Antalya dikawal oleh anggota polis dan tentera bagi mencegah kecurian susulan sejumlah insiden sedemikian pada hujung minggu lalu.
“Hantar apa sahaja barangan kerana terdapat berjuta-juta penduduk di sini dan mereka semua perlukan makanan,” kata Menteri Dalam Negeri, Minister Suleyman Soylu dalam rayuannya Ahad lalu.
Bungkusan-bungkusan bantuan terutamanya pakaian dibuka dan dibentangkan di jalan-jalan di wilayah Hatay, demikian menurut saluran NTV. Rakaman menunjukkan petugas-petugas bantuan membaling pakaian secara rawak dengan orang ramai cuba mengambil apa sahaja yang boleh.
Soylu berkata, operasi menyelamat berakhir di tujuh kawasan di Kahramanmaras. Kerugian ekonomi akibat bencana gempa bumi kali ini mencecah AS$84.1 bilion (RM365.7 bilion), kata persatuan majikan Turkiye, Turkonfed kelmarin.
Di Syria pula, angka korban tidak banyak berubah sejak beberapa hari lalu tetapi dijangka terus meningkat.
Ketua hal ehwal kemanusiaan PBB, Martin Griffiths dijangka mengadakan pembentangan kepada Majlis Keselamatan pada hujung minggu ini berhubung situasi di Syria.
“Kita telah kecewakan penduduk di barat laut Syria. Mereka berhak berasa terpinggir,” katanya di laman Twitter Ahad lalu.
Sebuah konvoi PBB terdiri daripada 10 buah lori menyeberang masuk dari Turkiye ke barat laut Syria melalui satu-satunya lintasan sempadan yang dibuka di rantau itu, kata pemberita AFP Ahad lepas. Bagaimanapun, pegawai-pegawai PBB berkata, lebih banyak diperlukan untuk jutaan penduduk yang mana kediaman mereka musnah.
Kelmarin Sudan menghantar sebuah penerbangan membawa 30 tan bantuan ke Syria.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, Damsyik telah memberikan lampu hijau kepada semua konvoi bantuan tetapi WHO masih menunggu kelulusan dari kawasan dikuasai pemberontak sebelum melakukan perjalanan masuk.
Kombinasi krisis seperti Covid, kolera, kemerosotan ekonomi dan kini gempa bumi, membawa kesengsaraan yang tidak tertanggung,” kata Tedros. – AFP