fbpx

MIDA lulus pelaburan berkaitan ekosistem EV bernilai RM14.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul (tiga dari kanan) bergambar selepas majlis perasmian Persidangan EV di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah meluluskan 26 projek bernilai RM14.7 bilion berkaitan ekosistem kenderaan elektrik (EV) sejak tahun 2018 hingga September 2022.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia melibatkan projek dalam industri berkaitan pemasangan, alat ganti, komponen pembuatan dan pengecasan.

“Antaranya ialah pelaburan RM1 bilion daripada Samsung SDI Energy Malaysia untuk projek fasa pertama di Negeri Sembilan, yang mana mereka telah memulakan penghasilan bateri EV pada Mei 2022 dengan kapasiti tahunan 240 juta sel bateri.

“Syarikat ini juga merancang untuk melabur RM6 bilion untuk membina fasiliti pengeluaran bateri moden yang dijangka bermula pada Januari tahun depan untuk menghasilkan 700 juta sel bateri setahun.

“Fasiliti tersebut bakal mencipta 1,300 peluang pekerjaan untuk bakat tempatan.
“Sebagai hab pembuatan utama dalam sektor elektrik dan elektronik di Asia Tenggara, Malaysia serius untuk mengambil manfaat daripada pasaran EV ASEAN yang dianggarkan bernilai hampir dollar Amerika (AS$) 500 juta (RM2.17 bilion) pada 2021 dan dijangka berkembang kepada AS$2.7 (RM11.7 bi­lion) bilion menjelang 2027,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pe­rasmian Persidangan EV di ibu pejabat MIDA semalam.

Sementara itu, Timbalan Ke­tua Pegawai Eksekutif Pembangunan Pelaburan MIDA, Lim Bee Vian dalam sidang akhbar yang diadakan berkata, pihaknya menyasarkan menarik pelaburan berjumlah RM20 bilion berkaitan ekosistem industri EV dalam tempoh lima tahun sehingga 2025.

“Sasaran ini akan digandakan kepada RM40 bilion untuk tempoh lima tahun seterusnya, iaitu sehingga 2030,” jelas beliau. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI