PETALING JAYA – Malang tidak berbau buat pelakon Hairul Azreen apabila dia mengalami kecederaan lutut kiri ketika menjayakan penggambaran filem aksi The Original Gangster (The OG) sehingga terpaksa direhatkan.
Pelakon berusia 35 tahun itu meminta maaf kerana tidak dapat meneruskan penggambaran berikutan kecederaan pada ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kirinya.
“Dukacita dimaklumkan saya tak dapat teruskan penggambaran The Original Gangster disebabkan ACL lutut kiri saya putus.
“Minta maaf kawan-kawan dan pasukan produksi. Sudah sampai masa untuk saya rehat,” katanya menerusi hantaran video Instagram.
Pemilik nama sebenar Hairul Azreen Idris itu turut berkongsi paparan video ketika dia menjalani rawatan di hospital.
Antaranya menunjukkan dia menjalani pemeriksaan CT Scan atau pengimbasan tomografi berkomputer selain terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda.
Malah menerusi ruangan komen, aktor yang sinonim dengan beberapa filem aksi sebelum ini turut menyatakan pernah berdepan kecederaan sama.
“Dulu (lutut) kanan, sekarang kiri pula,” katanya membalas pertanyaan seorang pengikut.
Filem The OG arahan Syamsul Yusof turut membariskan Datuk Rosyam Nor, Beto Kusyairy, Sharnaaz Ahmad, Shaheizy Sam, Soffi Jikan dan aktor Indonesia, Yayan Ruhian.
Filem yang menjalani penggambaran sejak bulan lalu itu merupakan terbitan Syamsul Yusof Films bersama Razor’s Edge Pictures.
Sementara itu, menerusi ruangan komen ramai rakan selebriti meninggalkan kata-kata semangat kepadanya selain mendoakan Hairul cepat sembuh.
“Insya-Allah, segera sembuh bro,” tulis Yayan Ruhian.
“Fokus kepada proses penyembuhan. Perjalanan masih panjang,” kata Beto Kusyairy.
“Moga yang baik-baik untukmu,” luah Elizad Sharifuddin. – KOSMO! ONLINE