GERIK – Kejadian seorang lelaki parah ditembak di Bandar Betong, Wilayah Yala, Selatan Thailand Sabtu lalu merupakan insiden pertama melibatkan rakyat Malaysia.
Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, kes seumpama itu tidak pernah dilaporkan berbanding nahas jalan raya melibatkan rakyat negara ini di bandar berkenaan.
Bahkan, katanya, tiada sebarang laporan polis diterima daripada mana-mana pihak berkaitan ugutan jenayah termasuk oleh mangsa berusia 55 tahun.
“Ini yang pertama (melibatkan warga Malaysia) di Betong. Kita tidak terima laporan polis berkaitan ugutan jenayah sebelum kejadian tembak berlaku,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 9 malam (waktu Thailand), mangsa dari Pengkalan Hulu itu mengalami kecederaan di bahagian perut dan paha selepas terkena tiga das tembakan yang dilepaskan seorang individu bermotosikal dipercayai warganegara itu.
“Difahamkan, suspek dalam kes ini telah ditahan pihak polis Thailand. Kita akan membantu siasatan pihak berkuasa di sana sekiranya diperlukan.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa tidak mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah melainkan dua rekod kes jenayah,” katanya. – KOSMO! ONLINE